NEW YORK: Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kelmarin merayu untuk tindakan radikal segera terhadap perubahan iklim selepas suhu pada bulan Julai dikesan memecahkan rekod tertinggi dunia.
Menurut Utusan Malaysia, beliau memberi amaran, Bumi kini mula berlalu daripada fasa pemanasan global kepada ‘era pendidihan global’.
Bercakap di New York, beliau berkata, panas terik di Hemisfera Utara dilihat sebagai ‘musim panas yang kejam’.
“Ini satu malapetaka untuk seluruh planet dan dalam beberapa hari seterusnya, sama seperti apa yang dialami ketika Zaman Ais mini, baki hari yang tinggal pada bulan ini akan memecahkan rekod suhu tertinggi yang pernah dicatatkan.
“Perubahan iklim sudah tiba. Memang menakutkan tetapi ia hanyalah permulaan. Era pemanasan global berakhir dan era pendidihan global sudah tiba,” katanya yang turut terkejut betapa pantasnya semua ini berlaku.
Tambah Guterres lagi, kesan melampau perubahan iklim juga selari dengan ‘ramalan dan amaran berulang’ saintis, malah menyatakan satu-satunya kejutan adalah tahap perubahan yang semakin pantas saba hari.
Dalam menghadapi musibah yang ‘tragis’ itu, beliau turut mengulangi gesaannya untuk bertindak pantas lagi meluas, sekali lagi menyasarkan sektor bahan api fosil.
“Udara tidak lagi sesuai untuk bernafas. Panas tak tertahan dan kerakusan mengejar keuntungan daripada bahan api fosil serta kegagalan menangani perubahan iklim tidak boleh diterima.
“Pemimpin mesti memimpin. Tidak boleh teragak-agak, tiada lagi alasan. Tidak perlu lagi tunggu orang lain bertindak dulu,” kata bekas Perdana Menteri Portugal itu.
Menjelang Sidang Kemuncak Harapan Iklim yang mana beliau akan menjadi tuan rumah pada September ini, Guterres menggesa negara maju komited untuk mencapai neutraliti karbon seberapa mungkin boleh pada 2040, dan menjelang 2050 bagi ekonomi sedang pesat membangun.
“Kemusnahan yang dicetuskan oleh manusia tidak semestinya menimbulkan kekecewaan, sebaliknya harus mendorong tindakan.
“Bagi mengelakkan kesudahan yang membinasakan, manusia mesti menukar ‘tahun yang penas membakar’ kepada ‘cita-cita yang membara,” katanya.