Che Mohd. Intizan menunjukkan laporan polis selepas keretanya disimbah cecair merah jambu di Kampung Pangkalan Datu, Sering di Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Seorang penjawat awam terkejut apabila melihat kereta yang diparkir di dalam garaj rumahnya disimbah campuran cecair berwarna merah jambu dalam kejadian di Kampung Pangkalan Datu, Sering di sini, Rabu.
Kejadian pukul 9 malam itu disedari mangsa Che Mohd. Intizan Kamarudin, 40, selepas selesai makan malam bersama ahli keluarganya di rumah.
Menurut Utusan Malaysia, Che Mohd. Intizan berkata, dia hairan apabila rumahnya menjadi sasaran ah long kerana dia tidak pernah meminjam wang atau berurusan dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen.
“Sebaik membuka pintu rumah, saya terkejut melihat kereta jenis Perodua Viva yang berada di dalam garaj disimbah dengan cecair berwarna merah jambu.
“Individu yang menyimbah cecair itu turut meninggalkan enam keping kertas bertulisan ‘bayar hutang cibai’ di atas lantai parkir kereta,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya malam Rabu.
Che Mohd. Intizan memberitahu, dia buntu dan hairan dengan tindakan itu kerana tidak pernah berhutang dengan ah long kecuali dengan pihak bank.
Katanya, dia mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh individu yang berdendam dengannya dan bukannya disebabkan oleh hutang.
“Saya syak perbuatan ini dilakukan oleh orang di kawasan ini. Polis ada membuat tangkapan kes dadah di belakang rumah saya tiga hari lalu.
“Mungkin ada pihak yang berdendam apabila beranggapan bahawa saya yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” ujarnya.
Che Mohd. Intizan berkata, dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Kota Bharu di sini berhubung kejadian itu Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan pihak menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan awal mendapati, kereta mangsa disimbah dengan campuran cecair dan bukannya cat.
“Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek kes tersebut,” katanya.