Ellron merasmikan bangunan Food Court pertama di Siok.
SOOK: Pekan kecil Sook melangkah setapak lagi sebagai sebuah pekan persinggahan yang terkenal, dengan pembukaan bangunan Food Court pertama di Daerah Kecil tersebut pada Khamis.
Bangunan berkenaan merupakan satu projek dibawah peruntukan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Persekutuan dan akan diselia secara langsung oleh Majlis Daerah Keningau dengan kerjasama Persatuan dan Peniaga kecil Bumiputera Daerah Kecil Sook (PPPKBS).
Pembukaan bangunan Food Court tersebut dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Undangan Negeri N.45 Sook, Datuk Ellron Angin.
Dalam ucapannya, Ellron berkata bangunan tersebut merupakan salah satu hasrat beliau untuk memastikan peniaga-peniaga gerai makan dan minum di Sook juga tidak terkecuali dalam mendapatkan satu kemudahan khusus untuk mereka berniaga.
“Ini adalah hasrat utama saya bagi membantu peniaga-peniaga kecil terutamanya mereka yang mengusahakan perniagaan makanan dan minuman untuk mempunyai satu bangunan khusus.
“Hari ini, hasrat tersebut dapat direalisasikan dengan terbinanya Bangunan Food Court Pekan Sook,” kata Ellron.
Selain itu beliau turut memaklumkan menerusi perbincangan dengan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau Tuan Mohd Fawzi Bin Abdul Kadir, bahawa bangunan tersebut akan dikembangkan dari semasa ke semasa bagi menampung keperluan peniaga lain khususnya bagi mereka yang belum memiliki gerai sendiri.
Terdahulu, Ellron menyerahkan 200 helai baju kepada PPPKBS.
Dalam majlis berkenaan juga beliau sempat mencabut dua nama daripada 4 penama yang bakal menjadi pemilik gerai di Food Court tersebut.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook, Tony Talasoi; wakil kepada Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Fellynthia G. Sundang; Pengerusi PPPKBS, Rusinin Rasiman dan warga masyarakat setempat.