Keadaan kenderaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Papar. – Ihsan Bomba
PAPAR: Seorang lelaki tempatan berusia 28 cedera apabila kenderaan jenis Toyota Hilux dipandunya merempuh sebuah lori di Kampung Pituru, Kinarut, di sini, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan sebelum menghantarnya ke hospital.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Sulaiman Menin dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 1 pagi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 28 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab melanggar sebuah lori kontena 3 tan yang diparkir di tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa dilaporkan terlibat. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Papar menggunakan jentera EMRS,” katanya.
Rozlan berkata, setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan pada jam 1.40 pagi.































