Liverpool sedia melepaskan Fabinho (kiri) dan Jordan Henderson kepada kelab Arab Saudi.
MANCHESTER: Liverpool memberi ‘lampu hijau’ kepada ketua pasukannya, Jordan Henderson dan Fabinho untuk menyertai kelab Arab Saudi, menurut Football Insider.
Henderson, 33, telah bersetuju dengan kontrak dua tahun bersama Al Ettifaq dan akan menerima gaji 700,000 pound (RM4.156 juta) seminggu, manakala Fabinho telah diberi lampu hijau oleh Reds untuk memuktamadkan syarat perpindahan 40 juta pound (RM237.5 juta) ke Al-Ittihad.
Menurut Utusan Malaysia, pemergian kedua-dua pemain itu menyaksikan jentera tengah Liverpool akan dirombak, dan Reds sudahpun membuat persediaan dengan membawa masuk Alexis Mac Allister serta Dominik Szoboszlai.
Fabinho tidak mengikuti skuad kendalian Jurgen Klopp mengadakan kem pramusim di Jerman sebaik sahaja menerima tawaran Al-Ittihad.
Tawaran kelab Liga Pro Saudi itu diterima minggu lalu, dan Fabinho, 29, diberi kebenaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum melengkapkan formaliti perjanjian.
Sementara itu, Al Ettifaq yakin ujian perubatan dan formaliti perpindahan Henderson akan selesai tidak lama lagi, sekali gus menamatkan kerjayanya yang cemerlang selama 12 tahun di Anfield.
Football Insider minggu lalu mendedahkan Liverpool tidak akan menghalang langkah Henderson jika dia memberitahu mereka dia mahu pergi.
Ini bermakna lima pemain tengah senior dari skuad musim lalu akan pergi selepas James Milner, Naby Keita serta Alex Oxlade-Chamberlain dilepaskan secara percuma.
Pemergian Henderson mungkin akan dirasai peminat-penyokong Reds selepas dia membawa pengaruh di Anfield sejak menandatangani perpindahan 16 juta pound (RM95 juta) dari Sunderland pada 2011.
Dia menjadi kapten Liverpool pada 2015 berikutan pemergian legenda kelab, Steven Gerrard, yang kini pengurus Al Ettifaq.
Sepanjang menjadi ketua pasukan, Henderson mengetuai Liverpool memenangi Liga Perdana, Piala FA, Piala EFL, Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.