Andi bermesra dengan ahli Kinabalu Pink Ribbon ketika melawat gerai pameran dalam majlis itu.
TAWAU: Dalam memastikan pembelajaran anak-anak berterusan, tidak dinafikan bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak bukan hanya tanggungjawab guru semata-mata tetapi juga ibu bapa itu sendiri.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Haji Bandy berkata, anak-anak hanya bersama dengan guru selama 4 hingga 5 jam sehari berbanding dengan masa selebihnya bersama ibu bapa.
“Justeru, ibu bapa dan keluarga merupakan pengasuh yang paling penting dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan sahsiah kanak-kanak.
“Ini adalah kerana keluarga menjadi kumpulan sosial pertama yang melingkungi kehidupan anak-anak.
“Anak-anak merupakan anugerah dari Allah s.w.t yang telah diamanahkan kepada kita, maka jagalah amanah dan anugerah ini dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.
Menurut Andi, ajaran Islam telah meletakkan asas yang kukuh agar ibu bapa bertanggungjawab dalam menjaga dan memberi pendidikan kepada anak-anaknya.
Tambahnya, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh teladan dan akhlak yang baik di hadapan anak-anaknya agar mereka dibesarkan dalam suasana akhlak yang mulia.
“Oleh itu, luangkanlah masa berkualiti bersama-sama anak, bermain dan ransang daya kreativiti anak-anak bagi mengembangkan lagi daya kreativiti dan imaginasi anak-anak kita.
“Elakan, daripada memberikan pengaruh yang negatif terhadap perkembangan anak-anak kita,” kata beliau.
Andi berkata demikian semasa Perasmian Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika & Taska KEMAS Peringkat Parlimen P.191 Kalabakan 2023 di Dewan Masyarakat Tawau pada Selasa.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen P.191 Kalabakan dan Ahli Dewan Undangan Negeri N.71 Tanjung Batu berkata, Hari Potensi merupakan aktiviti kokurikulum yang diadakan setiap tahun di peringkat parlimen dan zon, negeri dan Kebangsaan.
“Tema tahun ini adalah ”Mencorak Sahsiah Generasi Era Digital Merentas Seni” yang memberi fokus membentuk perwatakan kanak-kanak era digital berdasarkan prinsip-prinsip kekuatan moral dan berintegriti.
“Tema ini selari dengan keperluan kemahiran abad ke-21 juga bertepatan dengan konsep MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau.
Sementara itu, Andi menegaskan bahawa, dalam menjadi sebuah organisasi pendidikan yang cemerlang, sudah tentu pendidik yang mempunyai prestasi kerja cemerlang sentiasa menjadi buruan.
Katanya, aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif serta kepakaran yang dimiliki oleh pendidik merupakan aset yang diperlukan dalam melahirkan anak-anak murid yang berkualiti.
“Saya percaya, anak-anak Taska dan Tabika KEMAS ini akan menjadi pemimpin yang hebat pada masa hadapan. Malah, program ini diadakan sebagai platform kepada kanak-kanak untuk memperlihat bakat dalam acara yang dipertandingkan.
“Sudah pasti, ini akan mendorong penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kurikulum sekaligus menjadikan anak-anak lebih yakin, berdaya saing serta berani berdiri di khalayak ramai tanpa rasa gementar,” katanya.
Andi turut melihat Hari Potensi sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara pihak Taska dan Tabika KEMAS dengan ibubapa serta masyarakat setempat.
“Dalam hal ini, pelaksanaan Hari Potensi berupaya mengubah persepsi masyarakat terhadap standard dan kualiti pendidikan Taska dan Tabika KEMAS bahawa kanak-kanak bukan sahaja cemerlang akademik malah hebat dalam aspek pembangunan bakat.
“Justeru, saya ingin memberikan saranan untuk semua adalah amat diharapkan agar program ini mempunyai kesinambungan pada tahun hadapan dan seterusnya dapat melahirkan kanak-kanak yang seimbang daripada pelbagai aspek meliputi Jasmani, Emosi, Rohan, Intelek, Sahsiah (JERIS) selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” jelas beliau.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Mewakili Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sabah, Wan Assim Bin Wan Sheikh; Pegawai Kemas Daerah Tawau, Mohamad Yusli Nassir; Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.71 Tg Batu Merangkap Pengerusi Bersama, Saharuddin Salleh; Penolong Pegawai Daerah Kalabakan mewakili Pegawai Daerah Kalabakan, Saridun Mohd. Jinin; Pegawai Majlis Perbandaran Tawau mewakili Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Rahayu Binti Haji Pohon; wakil Ketua Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Cawangan Tawau, Ruziman Hj Disid dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Julaidah Ambo Dalli.