Lionel Messi (dua, kiri) diperkenalkan secara rasmi kepada penyokong Inter Miami kelmarin.
NEW YORK: Peminat perlu membayar harga tinggi untuk menonton penampilan sulung Lionel Messi bersama Inter Miami menentang kelab Mexico Cruz Azul pada pusingan pertama Piala Liga 2023 di laman sendiri, Jumaat ini.
Tiket perlawanan pertamanya dijual sehingga AS$$110,000 (RM499,000) menurut carian di laman web penjualan semula tiket Vivid Seats. Itu antara harga tiket paling mahal pernah direkodkan untuk pasukan Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, harga untuk beberapa tempat duduk melonjak selepas superstar bola sepak itu secara rasmi menandatangani kontrak bernilai AS$50 juta (RM226.70 juta) sehingga AS$60 juta (RM272.04 juta) setahun, Sabtu lalu.
Begitupun masih ada tiket lebih murah untuk aksi Jumaat ini dengan purata harga AS$487 (RM2,209) dan ada di antara penyokong mengharungi perjalanan sejauh 1,200 kilometer untuk menyaksikan perlawanan Messi, menurut jurucakap Vivid Seats.
Harga tiket Piala Liga antara FC Barcelona dan Inter Miami tahun lalu kurang separuh daripada itu.
Tiket untuk perlawanan pertama Messi dalam saingan MLS menentang Charlotte pada 20 Ogos berharga purata AS$288 (RM1,305), meningkat 900 peratus sejak awal Jun ketika spekulasi perpindahan Messi ke AS mula tular. Harga tiket keseluruhan untuk Inter Miami yang kini berada di tangga tercorot liga turut meningkat 700 peratus.
Messi, 36, merupakan pemenang tujuh gelaran Ballon d’Or tujuh kali dan menjadi kapten Argentina ketika merangkul Piala Dunia tahun lalu.