“Tidak menang tidak mengapa, inilah pengalaman paling berharga buat saya,”.
Demikian komen jujur penyanyi yang membawakan lagu bertajuk ‘Tanpamu’, Misbaria Maidin.
Katanya, Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) yang diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah (JKKNS) pada Sabtu lalu merupakan satu pengalaman manis yang tidak mungkin dapat dilupakan.
“Saya menganggap CLAS Musim Ke-14 ini sebagai permulaan kepada saya untuk terus bergiat aktif mewarnai arena seni hiburan tempatan Sabah,” kata Misbaria.
Menurutnya, pertandingan itu membolehkan dirinya juga sebaris dengan ramai penggiat seni dari seluruh pelusuk Sabah, malah dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan penyanyi terkenal di Negeri di Bawah Bayu itu.
Nama-nama besar yang bertanding termasuklah Elica Paujin, Yunk-G, Dabra Sia, Santiana Ramli, Fanzi Ruji, Khai Puma Jamal, Dayang Nur Azreen, The Musafeer, dan Diandra Justin.
Manakala seorang lagi penyanyi yang buat pertama kalinya berjaya melangkah ke peringkat akhir ialah Deon, dengan lagunya ‘Bahagia Yang Kudamba’.
Walaupun tidak memenangi sebarang anugerah pada malam itu, tidak timbul sedikit pun rasa kecewa di hati Misbaria, malah menganggap CLAS Musim Ke-14 sebagai pembakar semangat untuk terus berkarya.
“Saya bersyukur kerana dikelilingi ‘team’ yang hebat sepanjang CLAS kali ini, kami juga telah melakukan yang terbaik, jadi tidak ada perasaan kesal malah terharu atas dorongan semua yang hadir memberikan sokongan, terutamanya ibu bapa dan ahli keluarga saya,” katanya.

Persembahan Misbaria pada peringkat akhir turut dibantu dengan kehadiran lima orang penyanyi latar terdiri daripada adik-beradik dan sahabat seperjuangan dalam seni.
Antaranya Faisal Junaid, Shabaruddin Maidin, Safry Maidin, Joel James dan Khairul Nidzar Ruslee.
Bertemakan ‘Muzik dan Lagu’, penyanyi kelahiran daerah Tawau itu tampil anggun menggayakan pakaian yang direka khas oleh Ben Salim.
Untuk rekod, lagu Tanpamu merupakan ciptaan sepenuhnya komposer Baha Tungau, atau lebih dikenali sebagai Ateng, dan dicipta khas kepadanya atas kemenangan menjuarai pertandingan nyanyian ‘AC88 Idol’ di Atukoi Cafe 88, Penampang pada tahun 2019.
Menariknya, Ateng turut memberi kejutan dengan membuat penampilan istimewanya, bermain Violin pada awal persembahan Misbaria di pentas akhir tersebut.
Terdahulu, CLAS Musim Ke-14 telah tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
CLAS kali ini menampilkan sebanyak sembilan buah lagu dengan penglibatan 15 artis tempatan Sabah bagi merebut gelaran juara.
Setiap minggu 10 buah lagu ciptaan komposer tempatan bertanding dalam carta mingguan yang disiarkan setiap Sabtu jam 2 hingga 3 petang selama 40 minggu menerusi siaran radio SABAHfm.
Sepanjang musim ke-14, sebanyak 46 buah lagu telah tersenarai dalam carta dan diundi melalui kaedah undian Google Form menerusi Fan Page Facebook Carta Lagu Artis Sabah (CLAS).





























