Pasukan penyelamat cuba memberikan bantuan kepada mangsa lemas di Lahad Datu. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lemas manakala seorang lagi masih hilang dalam insiden bot karam yang berlaku di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, PBT II Noorjali Maslah berkata, kejadian itu berlaku di Pulau Nusa Tengah pada jam 2.41 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Ab. Hajis Marasek bersama sebuah bot kevlar dikejarkan ke lokasi.
“Turut terlibat dalam operasi menyelamat itu adalah 18 orang anggota PDRM, tiga orang kakitangan Taman-Taman Sabah dan lapan orang anggota APMM,” katanya.
Setiba di tempat kejadian sejauh 15 kilometer dari BBP itu, pasukan bomba mendapati berlaku satu insiden bot karam yang melibatkan empat orang mangsa.
“Tiga daripada mangsa telah dijumpai oleh Polis Marin, di mana dua daripadanya selamat, manakala seorang mangsa, Nasirin Katibin, 7, meninggal dunia. Seorang lagi mangsa, Padli Ambit, 7, belum dijumpai,” katanya.
Menurut Noorjali, pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain menjalankan operasi pencarian seluas 3.225 BN dari lokasi bot dilaporkan karam.
“Operasi ditanggguhkan pada jam 4.50 petang,” jelas beliau.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dalam insiden di Semporna. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di LAHAD DATU, seorang remaja lelaki lemas ketika mandi sungai bersama rakan-rakannya di Kg. Sepagaya Batu 5, menuju ke kilang kopi berhampiran Jambatan Merah, di sini, petang tadi.
Ketua Balai BBP Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid memberitahu, kejadian berlaku pada kira-kira jam 3 petang.
“Kita menerima makluman menerusi talian balai mengenai insiden ini dan sepasukan lima diketuai Komander Operasi, PBK II Asmori Dahhiyarsyah bersama sebuah jentera FRT bergegas ke lokasi itu.
“Setiba di lokasi kejadian yang terletak sembilan kilometer dari BBP itu, didapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki lemas di sungai semasa melakukan aktiviti mandi-manda bersama rakan-rakannya.
“Mangsa telah dijumpai oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba. Pasukan bomba telah memberikan rawatan CPR kepada mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Sumsoa berkata, mangsa, Muhamad Zulaimie Muhamad Chumaidih, 14, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan dibawa ke Hospital menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat pada jam 4.52 petang,” jelas beliau.