Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan Lembaga Pembangunan Perumahan & Bandar (LPPB) akan membentuk satu Jawatankuasa Kerja untuk melaksanakan langkah-langkah pemutihan di Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kendalian LPPB.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang mengumumkan ini berkata, langkah ini adalah untuk menentusahkan status kelayakan para penyewa untuk memastikan hanya mereka yang layak dan benar-benar memerlukan berpeluang menduduki rumah PPR ini, serta mengelakkan mereka mencari keuntungan daripada penyewaan rumah PPR, seperti amalan sewa-atas-sewa.
Selain itu katanya, ia juga membolehkan agar para pemohon untuk menyewa yang masih ramai menunggu berpeluang menyewa rumah yang dikosongkan kelak.
“Kementerian dan LPPB juga menerima pakai saranan Ketua Menteri Sabah untuk memperuntukkan sebahagian rumah PPR kendalian LPPB kepada para graduan baharu sebagai tempat tinggal sementara atau ‘transit home’ mereka sementara mereka berikhtiar mendapat pekerjaan dan mampu menyewa atau memiliki rumah kediaman mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ekoran daripada isu surat pekeliling mengenai Pengosongan Rumah PPR kendalian LPPB, Dr. Joachim berkata, Jemaah Menteri Negeri Sabah dalam mesyuaratnya kelmarin telah mengambil maklum mengenai Garis Panduan Penyewaan Rumah Program Perumahan Rakyat bagi Negeri Sabah, yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan telah berkuat kuasa sejak tahun 2012, di mana tempoh maksima yang dibenarkan bagi setiap keluarga menyewa di PPR adalah selama sepuluh tahun.
“Walau bagaimanapun, kepada para penyewa yang masih layak dan ingin meneruskan penyewaan selepas tempoh 10 tahun, ianya boleh dipertimbangkan untuk pelanjutan oleh LPPB, dengan persetujuan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“Adalah dimaklumkan bahawa surat pekeliling daripada LPPB bertarikh 19 Jun 2023 mengarahkan para penyewa yang telah melebihi tempoh 10 tahun untuk mengosongkan rumah PPR mereka, hanya terpakai kepada para penyewa yang telah hilang kelayakan untuk terus menduduki rumah PPR tersebut.
“Pihak KKTP dan LPPB mengesali segala kesulitan yang timbul daripada ketidaktepatan kandungan surat pekeliling tersebut,” katanya.
Dr. Joachim turut menjelaskan, mengikut Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah Untuk Disewakan Negeri Sabah yang telah berkuat kuasa sejak tahun 2018, antara kriteria yang boleh menyebabkan seseorang penyewa kehilangan kelayakan untuk terus menyewa di rumah PPR kendalian LPPB ini ialah;
(a) Menduduki rumah tersebut secara sewa atas sewa;
(b) Pendapatan melebihi RM3,000.00;
(c) Penyewa atau pasangan telah mempunyai rumah sendiri;
(d) Penyewa yang menjadikan rumah sebagai persinggahan/stor mereka;
(e) Penyewa menjadikan rumah sebagai ‘homestay’ dan/atau
(f) Penyewa yang mempunyai tunggakan sewa.































