KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dipimpin oleh seorang Ketua Menteri.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sekiranya kerajaan bercadang ke arah itu, ia memerlukan kajian lanjut dan implikasi dari aspek menyeluruh.
Katanya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta 206] dan Seksyen 3 Akta 206 memperuntukkan bahawa Wilayah Persekutuan hendaklah berhenti daripada menjadi sebahagian daripada Negeri Selangor.
Jelasnya, Raja bagi Negeri Selangor hendaklah melepaskan dan berhenti daripada menjalankan kedaulatan ke atas Wilayah Persekutuan dan segala kuasa dan bidang kuasa Raja dan Dewan Negeri bagi Selangor dalam atau berkenaan Wilayah Persekutuan hendaklah berakhir.
“Subseksyen 7(1) Akta 206 juga memperuntukkan mengenai apabila mula berkuatkuasanya Akta 206, bahagian-bahagian pilihanraya negeri di dalam Wilayah Persekutuan itu hendaklah berakhir.
“Selanjutnya seksyen 8 Akta 206 memperuntukkan Wilayah Persekutuan hendaklah ditadbir mengikut Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 sebagaimana dipinda dari semasa ke semasa oleh Parlimen.
“Selanjutnya Akta 206 turut meminda Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan keanggotaan Dewan Rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Zahir Hassan [PH-Wangsa Maju] jika kerajaan berhasrat meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai negeri yang mempunyai DUN dan dipimpin oleh seorang Ketua Menteri.
Katanya, ini mengambil kira jumlah penduduk di ibu negara 1.8 juta bersamaan 5.9 peratus daripada 30.2 warganegara Malaysia.































