Jainisah (empat dari kanan) memerhatikan cara mengendalikan alat siar raya.
KOTA KINABALU: Sebanyak 25 set alat siar raya digital diserahkan kepada Pejabat Penerangan Daerah (PPD) di Sabah.
Menurut Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor setiap set peralatan dianggarkan bernilai RM98 ribu terdiri dari 50 item yang merangkumi speaker, pembesar suara, amplifier, mixer, pelbagai peralatan elektronik lain.
“Program-program jabatan yang dilaksanakan turut melibatkan pembesar negara seperti Yang Di-Pertuan Agong, perdana menteri, timbalan perdana menteri.
“Selain itu, program juga melibatkan pembesar negeri antaranya Tuan Yang Terutama, ketua menteri dan menteri kabinet maka ia menjadi satu keperluan dalam memastikan setiap program berjalan dengan lancar,” katanya selepas menyerahkan set alat siar raya di Dewan Serbaguna Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kota Kinabalu pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar setiap Juru Audio Visual (JAV) terus berusaha menguasai ilmu menyelenggara dan mengguna alat tersebut dengan cekap bagi meningkatkan kemahiran pengendalian seterusnya dapat mengelakkan gangguan ketika program dilaksanakan.
Sementara itu, JAV Daerah Kunak, Osman Sanudin memanjatkan rasa syukur dan berharap agar alat siar raya yang baharu itu dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan program-program yang akan dilaksanakan di daerah kelak.
Berbeza dengan JAV PPD Beluran, Mohd Anuarsah meluahkan rasa bimbang memandangkan daerah Beluran merangkumi daerah-daerah kecil di pedalaman yang masih menggunakan tenaga solar yang memungkinkan tidak dapat menampung keperluan tenaga elektrik tinggi yang diperlukan alat tersebut.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Supian Musa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), Azman Sipan, Penyelia JAV Pengurusan Aset Unit Sokongan Teknikal Ibu Pejabat, Sasali Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Nur Diyana Ujit.































