Masiung Banah
KOTA KINABALU: ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan agar hukuman lebih berat dikenakan kepada pelaku sambungan bekalan air dan elektrik secara haram.
Dalam masa yang sama katanya, satu Jawatankuasa Siasatan Bebas juga perlu ditubuh bagi menyiasat kecurian bekalan air dan elektrik yang bertambah serius di Sabah.
“Jika jawatankuasa bebas itu dipersetujui ia bukan sahaja bertindak menjalankan siasatan tetapi perlu mengemukakan kertas cadangan kepada Kerajaan termasuk hukuman lebih berat kepada pelaku,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masiung berkata, Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 perlu disemak semula untuk pindaan baharu yang lebih berat.
Katanya, isu kecurian air dan elektrik yang diwarisi di Sabah sejak beberapa siri kerajaan lalu banyak dipengaruhi kelemahan penguatkuasaan.
Beliau berasa heran, kenapa pegawai penguat kuasa atau pembaca meter Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kurang menyedari perkara tersebut dan hanya bertindak apabila ada aduan.
“Masalah ini telah menyumbang kepada krisis air dan elektrik hingga memaksa Kerajaan melaksanakan catuan kedua-dua bekalan itu hampir semua daerah di wilayah Sabah.
“Tumpuan utama siasatan ialah di kawasan perumahan setinggan yang padat dengan pendatang asing selain kilang-kilang dan permis perniagaan.
“Saya difahamkan selepas pihak berkuasa memotong sambungan haram air dan elektrik ini… hanya selang beberapa hari mereka (pelaku) telah membuat sambungan semula di lokasi lain.
“Adalah tidak adil bagi penduduk tempatan yang setia membayar bil setiap bulan apabila ada pihak lain mendapat bekalan secara tidak sah tanpa perlu membayar apa-apa,“ katanya.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, masalah pengurusan air di Sabah kini semakin meruncing menyebabkan pembinaan Loji Rawatan Air Telibung 2 yang membekalkan air ke Kota Kinabalu yang sepatutnya siap tahun lalu telah mengalami kelewatan.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 24 Mei lalu, Wakil Rakyat Kuamut itu lantang merungkai masalah air dan elektrik yang semakin kritikal di Sabah.
Beliau mahu SESB dan JANS mensasarkan catuan bekalan itu kepada kediaman golongan hartawan yang berpendapatan tinggi termasuk Menteri-menteri yang serba mampu, supaya mereka merasai sendiri jika berlaku kerosakan barangan elektrik di rumah mereka.
Berbanding rakyat kurang berkemampuan yang terpaksa mengumpul wang dalam tempoh yang lama untuk mengganti barangan elektrik yang rosak akibat catuan elektrik.































