Dr. Joachim (kanan) menyantuni Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Tamparuli, YB Datuk Jahid Jahim
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sentiasa memberi komitmen kepada usaha memperkukuh dan memantapkan lagi perundangan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi di bawah KKTP.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dengan adanya inisiatif Kementerian ini, ia akan memperkasa penyampaian perkhidmatan dan prestasi PBT dan agensi-agensi di bawah KKTP.
“Untuk itu, Kementerian saya telah membuat kajian ke atas 335 undang-undang kecil di bawah PBT dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Hasil daripada semakan dan penelitian tersebut, terdapat beberapa undang-undang kecil, telah dibuat pindaan antaranya ialah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 2022 (“UBBL 2022”) yang telah diwartakan pada 29 Disember 2022,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Dr. Joachim berkata, antara pindaan baharu dan penting ke atas UBBL 2022 ini adalah pengeluaran Certificate of Completion and Compliance (CCC) oleh para professional, yakni Principal Submitting Person (PSP) bagi menggantikan Perakuan Kelayakan Menduduki (Occupation Certificate) yang sebelum ini dikeluarkan oleh PBT.
Pindaan UBBL 2022 ini merupakan satu pindaan yang positif kerana mengurangkan lagi karenah birokrasi selaras dengan aspirasi kerajaan Negeri, katanya, sambil menambah undang-undang kecil seragam yang sedang dalam proses pewartaan adalah:
(a) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penggunaan Premis Bagi Tred, Perniagaan dan Perindustrian Seragam 2022; dan
(b) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan Seragam 2022.
Katanya, terdapat juga beberapa penyeragaman undang-undang kecil dalam peringkat terakhir penyediaan iaitu :
(a) Undang-Undang Kecil Penyediaan Tempat Letak Kenderaan Awam Seragam, 2022; dan
(b) Undang-Undang Kecil Kerja Tanah Seragam, 2022.
Dr. Joachim berkata, selain menjadi mekanisma kawalan, kesemua undang-undang kecil ini akan dapat meningkatkan pendapatan PBT.
“Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap. 141) juga akan dibuat pindaan untuk memastikan ianya memenuhi kehendak semasa dalam perancangan pembangunan PBT. Pada masa yang sama, Kementerian ini juga sedang dalam peringkat akhir merangka pindaan yang perlu dibuat ke atas Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1978 yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang serta dalam proses penyediaan draf undang-undang yang baharu iaitu Enakmen Pengurusan Bangunan yang antaranya memperuntukkan undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan short-term rental ataupun penginapan sewaan jangka pendek,” ujarnya.
Dr. Joachim berkata, matlamat pembangunan lestari ke arah persekitaran hijau dan berdaya huni merupakan hala tuju yang ingin dicapai menerusi penyediaan dokumen inisiatif KKTP ke arah masyarakat rendah karbon berdasarkan tiga pemacu utama iaitu:
a) Mengalakkan Pertumbuhan Ekonomi Mampan.
b) Melahirkan Masyarakat yang terdidik Minda ke arah Persekitaran Hidup yang Berkualiti dan Sejahtera.
c) Menjadikan Bandar dan Penempatan Manusia Inklusif, Selamat, Berdaya Tahan dan Mampan.
Selaras dengan itu katanya, terdapat tujuh inisiatif yang diberikan penekanan iaitu, Ekologi dan Alam Sekitar; Persekitaran Hijau; Rekabentuk Kejiranan dan Pengangkutan; Bangunan Hijau; Pengurusan Air, Tenaga dan Sisa Pepejal; Komuniti Hijau; dan Inovasi.
Manakala usaha yang telah dirancang dan dijalankan adalah seperti Program Pemerkasaan Hijau bersama PBT; Program I.P.L.A.N.T (Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah) bersama PBT; Pembangunan atau usaha menaiktaraf kemudahan Taman Awam; Pembangunan kebun komuniti; dan Cadangan Rekabentuk Integrasi Konsep HIJAU Bangunan Pejabat Majlis Daerah Telupid.
Sementara itu, Dr. Joachim berkata, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta melalui Program Pembangunan D39, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada tujuh PBT bagi tujuan pewujudan dan baikpulih pasar dan gerai.
Katanya, PBT yang terlibat adalah Majlis Daerah Beaufort, Papar, Pitas, Keningau, Tambunan, Tenom dan Beluran.
“Setakat bulan Mei 2023, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM6.010 juta melalui peruntukan BP1 bagi tujuan membina dan menaiktaraf pasar dan gerai kepada 10 PBT yang terlibat iaitu Majlis Daerah Papar, Kota Belud, Kunak, Kuala Penyu, Telupid, Tongod, Nabawan, Beluran, Tambunan dan Kinabatangan,” katanya.