Dr. Joachim (kanan) berbual dengan Pembantu Menteri II, Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga ADUN Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dengan usaha sama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah bersama Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya, telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Setinggan bagi merangka Pelan Tindakan Setinggan Negeri Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerjasama ini adalah selaras dengan Teras Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dalam Pelan Pembangunan SMJ iaitu menekankan penyelesaian masalah setinggan di negeri Sabah.
“Melalui pendekatan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya penyelesaian yang paling realistik bagi menangani isu setinggan adalah dengan cara Kerajaan menggazetkan penempatan setinggan di negeri Sabah dengan syarat mereka mematuhi spesifikasi penempatan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
“Kementerian saya turut berkerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan agensi lain yang terlibat menguruskan koloni setinggan yang terdapat di negeri Sabah,” katanya semasa menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) berhubung polisi pengurusan koloni setinggan di Sabah.
Bagi soalan yang diajukan oleh Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) berhubung penyelesaian koloni setinggan sebagai floating village terutamanya di daerah Semporna, Dr. Joachim berkata, Kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan bekerjasama dengan pemaju swasta (sebagai rakan kongsi) untuk menyediakan penempatan semula bagi setinggan-setinggan di Kampung Air secara tersusun.
“Melalui usahasama ini, LPPB merancang untuk menyediakan 500 lot (walaupun anggaran kasar penduduk/setinggan di Kg. Air setakat ini adalah 285 keluarga) dan kemudahan infrastruktur di atas tapak baru yang telah dikenalpasti oleh Majlis Daerah Semporna iaitu di kawasan Tinagayan seluas 44.3 ekar.
Menjawab isu yang diutarakan oleh Datuk Hassan A. Gani Pg. Amir (Sebatik) berkenaan penubuhan Majlis Daerah Kalabakan, Dr. Joachim memaklumkan, Kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan pihak Majlis Perbandaran Tawau dan Pejabat Daerah Kalabakan.
“Pihak Kementerian mendapati pewujudan Majlis Daerah Kalabakan pada masa ini belum dapat direalisasikan. Ini berdasarkan keupayaan pembangunan dan hasil yang sedia ada belum mencukupi.
“Bagi tujuan penyediaan perkhidmatan dan Pihak Berkuasa melulus bagi daerah Kalabakan, ianya masih di bawah tanggungjawab Majlis Perbandaran Tawau.
“Pihak Kementerian mengambil maklum dan akan mengkaji dengan lebih mendalam sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan Negeri Sabah,” katanya.
Mengenai soalan daripada Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam) berhubung isu kutipan sampah yang kurang terurus di Daerah Lahad Datu, Dr. Joachim berkata, antara punca kelewatan adalah disebabkan pertambahan kawasan operasi baharu yang menyebabkan kawasan liputan perkhidmatan yang bertambah.
“Sebagai makluman, pada tahun 2021 jumlah sampah yang dikutip adalah sebanyak 4,372.55 tan sebulan. Jumlah ini meningkat kepada 5,948.22 tan sebulan pada tahun 2022. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,575.67 tan. Jumlah ini akan meningkat berganda semasa musim-musim perayaan. Dengan pertambahan ini, pihak konsesi menggunakan masa yang lebih banyak untuk membersihkan satu kawasan dan akan menyebabkan kawasan lain tidak dapat dikutip mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Pihak konsesi setakat ini tidak mempunyai jentera yang cukup kerana lewat menerima lori-lori sampah baharu yang telah ditempah sebelum ini. Sebagai usaha untuk menangani masalah ini, pihak konsesi pada masa kini menggandakan masa kerja-kerja pemungutan sampah kepada dua kali sehari. Sementara menunggu lori-lori baharu sampai, pihak konsesi bermula bulan April telah mengambil beberapa tindakan antaranya menyewa lima unit dump truck berkapasiti sepuluh tan, menyediakan dua tong roll-on / roll–off (RO-RO) dan empat buah tong berkapasiti tiga tan, mewujudkan satu pasukan khas yang bergerak dengan menggunakan lori tiga tan dan juga telah membeli sebuah Backhoe bagi membantu melicinkan lagi kerja-kerja kutipan dan pembersihan. Manakala di pihak Majlis,
“Jawatankuasa Pemantau Kebersihan dan Keindahan Bandar telah ditubuhkan untuk tujuan pemantauan kebersihan di seluruh kawasan PBT,” jelasnya, sambil menambah tempoh konsesi bagi kerja-kerja pemungutan sampah di Majlis Daerah Lahad Datu adalah lima tahun sahaja dan terdapat dua Syarikat Konsesi yang terlibat iaitu, Hana Mega Sdn Bhd; dan Bumi Mega Teknologi Sdn Bhd.
Bagi isu yang diutarakan oleh Jannie Lasimbang (Kapayan) berhubung peruntukan tapak pelupusan sampah di daerah Penampang dan juga mengenai peruntukan untuk pihak NGO bagi pengurusan sampah, Dr. Joachim berkata, perkara ini sedang dalam penelitian pihak Majlis Daerah Penampang.
Kepada satu lagi soalan daripada Mohamaddin, Dr. Joachim berkata, pembinaan rumah mampu milik adalah tertakluk kepada ketersediaan tapak tanah.
“Saya ingin maklumkan di sini bahawa setakat ini, pihak LPPB tidak mempunyai tanah yang tersedia di kawasan DUN Silam untuk dibangunkan di bawah projek Perumahan Mampu Milik. Pihak Kementerian mengalu-alukan sebarang cadangan daripada Ahli Yang Berhormat sekiranya terdapat tanah-tanah yang difikirkan sesuai untuk tujuan berkenaan dan mengemukakannya kepada Kementerian ini untuk tindakan selanjutnya.”
Menjawab pertanyaan daripada Datuk Annuar Ayub (Liawan) berhubung penambahan pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), Dr. Joachim berkata, Kementerian melalui Majlis Daerah Keningau telah mengemukakan permohonan cadangan pembinaan rumah PPR di kawasan strategik yang terletak di Jalan Keningau-Tenom dengan keluasan 46.27 ekar pada Mac 2023.
Tambahnya, cadangan pembangunan rumah PPR ini akan dimajukan kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) di bawah Rolling Plan 4 (RP4) tahun 2024, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk pertimbangan bersama-sama semua cadangan pembangunan rumah PPR seluruh Sabah.
Sebagai menjawab soalan daripada Mokran Ingkat (Sungai Manila) berhubung kelewatan pelaksanaan projek yang mana melibatkan paip air di PPR Sungai Manila, Dr. Joachim berkata, pihak Majlis telah menyediakan notis penamatan kepada kontraktor yang dilantik sebelum ini bagi mengelakkan komplikasi perundangan. Proses seterusnya ialah pelantikan kontraktor yang baharu.
Berhubung satu lagi isu yang ditimbulkan oleh Dr. Aliakbar, Dr. Joachim berkata, PBT tidak pernah mengeluarkan lesen atau permit terhadap sebarang aktiviti perjudian kerana ia terletak di luar bidang kuasa Kementerain.
Justeru itu, katanya, buat masa ini sebarang maklumat yang dikemukakan kepada Kementerian atau PBT mengenai sebarang aktiviti perjudian termasuklah kegiatan judi atas talian (online) akan disalurkan terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Bagi pertanyaan Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) berhubung isu denggi, Dr. Joachim berkata, bagi mengurangkan kes demam denggi, pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah menganjurkan program gotong-royong iaitu membersihkan parit dan pemusnahan tempat pembiakan jentik-jentik pada setiap minggu di kawasan wabak.
Pada masa yang sama katanya, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan menjalankan kerja-kerja semburan kabus (fogging). Sejumlah 28 aktiviti gotong-royong telah dilaksanakan di kawasan Elopura sepanjang tahun 2022 dan setakat 7 Mei 2023, sejumlah 13 aktiviti gotong-royong telah diadakan di kawasan Elopura, tambahnya.
Menjawab satu lagi soalan daripada Annuar berhubung naik taraf dewan dan pasar sedia ada, pihak Kementerian telah mengemukakan cadangan pembinaan pasar umum baharu untuk daerah Keningau kepada Unit Perancang Ekonomi Sabah (UPEN).
Dr. Joachim berkata, dianggarkan kos peruntukan pembinaan pasar baharu adalah berjumlah RM22.0 juta. Cadangan permohonan peruntukan dikemukakan di bawah program Kajian Separuh Penggal (KSP), RMK12).
“Permohonan ini juga telah diletakkan di bawah status projek keutamaan Majlis Daerah Keningau. Selain itu PBT telah mengemukakan permohonan ke Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) bagi pembaikan dan naik taraf pasar yang berjumlah RM13.0 juta. Manakala bagi fasiliti dewan, Majlis Daerah Keningau akan memohon peruntukan dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi tujuan ini.”
Kepada satu lagi soalan daripada Mokran dan juga Calvin Chong (Elopura) berkenaan dengan Terminal Bas Bersepadu Sandakan, Dr. Joachim memaklumkan terminal bas ini akan mula beroperasi selepas Sijil Layak Menduduki (OC) dikeluarkan.
Pada masa ini katanya, kerja-kerja terakhir ke arah memenuhi syarat pengeluaran OC sedang dilaksanakan, yakni pemasangan alat pemadam api (sprinkler). Setelah mengalami pelbagai masalah, akhirnya semua hambatan ini akan dapat diatasi dan terminal bas bersepadu ini dijangka akan mula beroperasi pada 15 Jun 2023 nanti.
Bagi pertanyaan Dr. Aliakbar berhubung peraturan pembinaan rumah ibadah di kawasan lapang (open space), Dr. Joachim berkata, kawasan lapang merupakan suatu kawasan yang diperuntukkan untuk tujuan rekreasi aktif atau pasif termasuklah ruang atau tempat awam bagi aktiviti riadah, kawasan berkelah, kawasan awam, bersukan, taman-taman awam, gelanggang permainan, padang-padang, ruang pejalan kaki, dataran awam, ruang penampan dan kawasan semula jadi.
Bagi kawasan lapang di kawasan perumahan ianya adalah bertujuan untuk aktiviti rekreasi dan penghijauan, jelasnya, sambil menambah, kawasan lapang yang disediakan dalam kawasan perumahan adalah seluas 10% bagi tanah yang melebihi satu ekar di mana ianya menjadi sebahagian dari syarat kelulusan pelan pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Oleh itu, pembinaan rumah ibadat tidak boleh dibangunkan dalam kawasan lapang kerana penyediaan kawasan lapang adalah bertujuan untuk aktiviti rekreasi dan penghijauan sahaja,” katanya.
Berkenaan isu haiwan liar berkeliaran, Dr. Joachim berkata, pada masa kini pengawalan isu haiwan berkeliaran adalah di bawah Enakmen Kebajikan Haiwan, 2005.
“Pihak PBT sentiasa berusaha mengawal populasi haiwan terbiar dengan melaksanakan penangkapan berdasarkan aduan yang diterima dan juga melalui tugasan rutin dengan pematuhan kepada enakmen sedia ada. Di pihak Kementerian, perbincangan telah dan sentiasa diadakan di antara semua pihak terlibat secara langsung untuk mengariskan semula skop dan bidang tugas setiap agensi berdasarkan punca kuasa sedia ada.”