Isnin Aliasnih
KOTA KINABALU: Sebanyak 70 buah pelan pekan dan bandar baharu di seluruh negeri Sabah telah dirancang dan dilaksanakan pengujudannya oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan yang lain.
Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, program-program pembangunan tersebut, terutamanya pembangunan infrastruktur dan prasarana asas dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di dalam Rancangan Lima Tahun Malaysia tertakluk kepada kelulusan peruntukan kewangan.
Pecahan senarai pekan-pekan baharu di Sabah merangkumi 22 Projek Sambungan telah dilaksana, 34 Projek Sambungan sedang dilaksana dan 14 Projek Baharu akan dilaksana.
Isnin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Abdul Ghani bertanya jika pihak Kementerian mempunyai perancangan jangka panjang untuk mewujudkan sebuah kawasan sama ada pekan atau bandar yang lebih teratur dan akan menjadi ikon serta mercu tanda Sabah Maju Jaya selari dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Isnin berkata, Kementerian beliau melalui Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) telah menyediakan Pelan Struktur Sabah 2033 (PSS2033) yang merupakan dokumen perancangan yang strategik untuk jangka masa panjang.
Ini, menurutnya, akan memandu dan mengawal serta membentuk negeri ini pada masa hadapan dengan pertumbuhan ekonomi, sosial dan pembangunan perbandaran sehingga tahun 2033 secara holistik, selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025).
“PSS2033 ini telah merangka perancangan dalam mewujudkan Bandaraya Metropolitan Kota Kinabalu (Greater Kota Kinabalu) yang merangkumi daerah Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar.
“Ini bagi mewujudkan kawasan perbandaran yang lebih teratur dengan perumahan, sekolah, penjagaan kesihatan, pejabat pos, pejabat daerah dan semua perkhidmatan lain disokong oleh pemboleh pertumbuhan yang kukuh seperti infrastruktur yang lebih baik bagi menampung gaya hidup ke arah pendigitalan.
“Perancangan ini dijangka akan menjadi ikon serta mercu tanda di negeri Sabah yang bertepatan dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dengan memberikan tumpuan kepada pemantapan infrastruktur asas dan digital di seluruh negeri dengan menjadikan aspek kesalinghubungan, keterangkuman dan keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar sebagai keutamaan,” kata beliau.
Isnin menambah, selaras dengan keperluan PSS2033, perancangan untuk mewujudkan sebuah kawasan pekan atau bandar yang lebih teratur ini juga telah dilaksanakan dalam pelan daerah dan pelan tempatan di setiap daerah di negeri ini dengan lebih terperinci.
Ia juga mengambil kira semua aspek dan keperluan pembangunan khusus bagi menyediakan rancangan pembangunan yang teratur serta mampan.
“Agensi-agensi pelaksana dan para pemaju swasta perlu mematuhi setiap apa yang telah dirancang di dalam pelan-pelan tempatan berkenaan berdasarkan kepada zon guna tanah yang telah ditetapkan di setiap kawasan.
“Ini bagi menjamin pembangunan yang mapan dan madani di masa hadapan,” jelas beliau.