Jahid Jahim
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) boleh membantu agensi pelaksana untuk memantau semua projek di kampung masing-masing walaupun tidak terlibat dalam mengawal selia peruntukan untuk membaiki projek infrastruktur kampung.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, ini adalah kerana JPKK terletak di bawah kawal selia pejabat daerah.
“Justeru, JPKK hanya boleh mencadangkan projek yang mampu memberi manfaat kepada kawasan setempat dan penduduk kampung melalui pejabat daerah di kampung masing-masing.
“Walau bagaimanapun, JPKK boleh membantu agensi pelaksana untuk memantau semua projek yang dilaksanakan di kawasan kampung masing- masing,” kata beliau.
Sementara itu, Jahid berkata, Jawatankuasa Dalam Bandar (JKDB) adalah di bawah kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) manakala Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) adalah di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri (JKM).
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Jannie bertanya apakah proses pemantauan JPKK, JKDB dan Unit Pemimpin Pembagunan Masyarakat (UPPM) dalam menjalankan tugas dan mengawal selia peruntukan untuk membaiki projek infrastruktur kampung.