Mendiang Ratu Elizabeth II memakai mahkota yang bertahtakan berlian Kohinoor.
NEW DELHI: India berjaya membawa pulang sebanyak 244 barangan antik yang dicuri dari negara ini dalam tempoh 75 tahun sejak sebelum merdeka pada 1947.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Jitendra Singh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 231 barangan dibawa balik dalam tempoh sembilan tahun lalu.
“Proses membawa lebih banyak barangan antik milik India perlu dilakukan pada tahap yang lebih pantas kerana perdana menteri memberikan keutamaan untuk memulihara warisan serta mencipta legasi baharu,” katanya.
Berdasarkan laporan media, pihak berkuasa India kini berkoordinasi dengan diplomat di London untuk mendapatkan kebenaran secara rasmi daripada sejumlah institusi berkaitan supaya mengembalikan artifak ke India.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Kajian Arkeologi India mengetuai usaha kerajaan negara ini untuk menuntut semula semua artifak yang dibawa keluar dari India sebelum ini.
Antara barangan yang diambil dari India sebelum merdeka adalah berlian Kohinoor, iaitu merupakan antara berlian potong terbesar di dunia, seberat 105.6 karat.
Kerajaan India mendakwa berlian Kohinoor itu akan dijadikan sebagai ‘simbol penaklukan’ dalam pameran Permata Mahkota Britain di Menara London yang bakal dibuka kepada umum akhir bulan ini.