Seorang remaja mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol remaja perempuan bawah umur di Kampung Sri Muar, Sri Murni Jaya, Layang-Layang, Kulai, tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang remaja mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Kampung Sri Muar, Sri Murni Jaya, Layang-Layang, Kulai, tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh yang berusia 18 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja berkenaan didakwa merogol mangsa di belakang kediaman mangsa pada pukul 3.30 petang, tahun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek ditahan pada pukul 6 petang, 15 Mei lalu selepas pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu daripada ibu mangsa.
“Menurut pengadu, dia telah terdengar suara jeritan anaknya di dalam tandas kediaman mereka pada pukul 1.30 pagi, hari sama sebelum mendapati terdapat janin di dalam mangkuk tandas.
“Pengadu kemudian membawa janin tersebut dan anaknya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan. Bedah siasat dibuat mendapati janin itu sudah berusia 28 minggu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Siasatan terhadap rmangsa mendapati dia telah dirogol oleh suspek.