Suasana semasa Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas di Dataran DUN.
KOTA KINABALU: Cuaca panas pada Isnin (23 Mei) tidak menghalang Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas berjalan lancar.
Istiadat bermula sejurus keberangkatan tiba Yang di- Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada jam 8.20 pagi yang disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Haji Kadzim M. Yahya.
Beliau kemudian menerima tabik hormat daripada Pegawai Baris, DSP Rafhan Ahmad Ani diikuti lagu “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” oleh Pancaragam Polis Kontinjen Sabah yang dianggotai 51 orang termasuk seorang pegawai.
Selepas itu, Tun Juhar memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion 16, Pasukan Gerakan Am Kota Kinabalu yang terdiri daripada tiga Pegawai Kanan dan 102 Anggota Pangkat Rendah (APR) diketuai Rafhan dan dibantu oleh Penolong Pegawai Baris, ASP Jackson Micheal.
Pemeriksaan KKU itu diiringi muzik oleh Pancaragam Polis yang dipimpin Insp Welbono Zain seterusnya memainkan lagu “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” sekali lagi.
Setelah itu, Tun Juhar diiringi Hajiji, Kadzim dan isteri, Datin Seri Noraini Salleh diikuti timbalan-timbalan ketua menteri, menteri-menteri, pembantu-pembantu menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong pasangan masing-masing ke Bilik Menunggu untuk jamuan ringan.
Mulai jam 9.45 pagi, dif-dif kehormat serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masuk ke dewan persidangan di Aras 4, disusuli para pembantu menteri, Safar, menteri-menteri dan timbalan-timbalan ketua menteri sebelum Hajiji tiba dan loceng istiadat dewan dibunyikan pada jam 9.57 pagi.
Setelah itu, Bentara Mesyuarat, Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Rafidah Maqbool Rahman, Timbalan-timbalan Speaker iaitu Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun dan Kadzim berarak masuk dan duduk di tempat masing-masing.
Di dalam dewan persidangan, selepas bacaan doa dipimpin Timbalan Setiausaha DUN, Mohd Jayrie Jaya, Kadzim kemudiannya menempohkan Dewan untuk menyambut ketibaan Tun Juhar dan keluar dari Dewan Persidangan.
Pada jam 10.05 pagi Tun Juhar berarak masuk semula ke Dewan Persidangan menurut aturan rasmi yang ditetapkan sambil diiringi Pasukan Nafiri Polis Kontinjen Sabah merangkumi tujuh peniup trumpet, empat pemain trombone dan tujuh percussion dan seorang pegawai.
Di dalam dewan persidangan, Teks Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah diserahkan oleh Hajiji kepada Tun Juhar untuk disampaikan kepada para ADUN serta masyarakat keseluruhannya menerusi siaran live youtube oleh Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah dan live radio RTM, Sabah FM.
Usai ucapan dasar, Kadzim mengumumkan Penangguhan Persidangan DUN Sabah dan istiadat ditutup dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Manap Lakariba.
Buat julung kalinya, DUN Sabah dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Bahagian Istiadat dan Protokol Jabatan Ketua Menteri serta Jabatan Kerja Raya Sabah mengendalikan sesi fotografi Tun Juhar bersama semua ADUN dan Kabinet Negeri.