Masiung Banah
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri perlu ikut jejak langkah Sarawak dengan menubuhkan syarikat penerbangan sendiri sebagai salah satu cabang baharu ekonomi wilayah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, cadangan itu wajar dijadikan keutamaan dalam agenda pembangunan Sabah kerana ia menjanjikan pelaburan berpotensi.
“Sudah tiba masanya kita menerokai industri ‘aero penerbangan’ sendiri sebagai pelaburan jangka panjang Kerajaan Sabah.
“‘Aero penerbangan Sabah’ perlu diwujudkan supaya rakyat Sabah mendapat manfaat selain menyumbang kepada pembangunan domestik,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masiung berkata, rakyat Sabah dan Sarawak selalu dijadikan mangsa buli syarikat penerbangan nasional sedia ada apabila tiba musim perayaan.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, syarikat penerbangan sekarang akan mengambil kesempatan meraih keuntungan berlipat ganda dengan menaikkan harga tiket sehingga 500 peratus kepada rakyat Sabah apabila menjelang hari perayaan.
“Saya kesal kerana warga Sabah dan Sarawak terdiri daripada golongan pelajar dan pekerja rendah di Semenanjung terpaksa memerah keringat bagi membeli tiket untuk pulang ke wilayah Borneo.
“Sedangkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM93 juta subsidi tol untuk rakyat di Semenanjung selama empat hari pada perayaan Aidilfitri tahun ini.
“Warga Sabah dan Sarawak selalu dipandang sebelah mata dalam agihan subsidi walaupun kedua-dua wilayah ini menjadi penyumbang terbesar hasil ekonomi negara,” ujarnya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melihat kepada keseimbangan rakyat Semenanjung dan Wilayah Borneo supaya mendapat subsidi sama rata.
Menurut Masiung, sepatutnya rakyat Sabah dan Sarawak tidak terkecuali dalam menikmati subsidi untuk mengurangkan nilai tiket penerbangan harga kayangan ke wilayah Borneo menjelang Aidilfitri yang lalu.
Beliau akan menyuarakan cadangan supaya Kerajaan Sabah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan diadakan 23-25 Mei depan.
Beliau yakin, Kerajaan Sabah mampu melaksanakan cadangan baharu itu kerana ianya dianggap penting bagi membantu rakyat, pegawai kerajaan dan pemimpin Sabah untuk berulang-alik antara Semenanjung dan Sabah dengan harga tiket berpatutan.





























