Jahid menerima cendera kenangan daripada pihak penganjur.
TAMPARULI: Masyarakat Islam diseru untuk meneruskan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, sepanjang Ramadan Al Mubarak ini, masyarakat beragama Islam digalakkan menambah amal ibadah dan mengumpul pahala, agar mendapat ganjaran berganda daripada Allah SWT.
“Amalan ibadah merupakan suatu perkara baik yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh semua umat manusia,” katanya ketika merasmikan Program Ihya Ramadan, Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Fakir Miskin Anjuran Kumpulan Yayasan Sabah (Zon Pantai Barat Selatan) Tahun 2023M/1444H, di Surau Kg. Lapasan Laut, Tenghilan, dekat sini.
Turut hadir Ketua Upko Cawangan Mengkabong yang mewakili Ahli Parlimen Tuaran (Datuk Seri Wilfred Madius Tangau), Mohd. Shazwan Elmey, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli/Kiulu, Suffian Kundu, Ketua Pentadbir Zon Yayasan Sabah, Linda Anthony, Pengerusi Surau Kampung Lapasan Laut Tenghilan, Junaidi Salleh, dan Penolong Pegawai Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sabah, Mohd. Saiful Azizi Asbollah.
Beliau yang juga ADUN Tamparuli berkata, melaksanakn amal ibadah yang diseru oleh Allah merangkumi semua amalan baik dan menjangkau semua amal soleh.
“Istiqamah dalam setiap amalan kita dan bersyukur atas segala nikmat yang kita perolehi sepanjang Ramadan.
“Apa-apa pun kebajikan yang kita mahu lakukan seharusnya dibuat dengan ikhlas kerana Allah, dan juga dengan hati yang khusyuk lagi tawaduk kepadaNya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Jahid mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Sabah atas usaha mengadakan program bermanfaat berkenaan, yang pastinya dapat sedikit sebanyak membantu penduduk kampung yang tidak berkemampuan.
“Tahniah juga kepada Jawatankuasa Surau Al-Hafiz Kampung Lapasan diketuai Ustaz Junaidi Mohd Salleh, sesungguhnya telah banyak perubahan demi perubahan yang dibawa beliau dan jawatankuasanya terutamanya dari segi keceriaan dan kebersihan surau ini,” ujar Jahid.
Selepas selesai acara rasmi dan penyampaian sumbangan beras kepada seramai lebih kurang 70 penerima, para tetamu dijemput bersama-sama dalam Majlis Berbuka Puasa dan seterusnya Solat Maghrib berjemaah bersama penduduk kampung.
Terdahulu, turut diadakan ceramah agama oleh penceramah jemputan, Dr. Ustaz Japran Kusin yang merupakan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud.





























