Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
PAPAR: Tiga orang cedera apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Simpudu, Jalan Papar Lama pada kira-kira jam 10 malam.
“Panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Sulaiman Menin dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh lapan kilometer itu, didapati satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi bertembung dengan Mitsubishi Triton.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat dilaporkan, termasuk seorang lelaki berusia 69 tahun dalam Perodua Myvi yang mengalami kecederaan dan dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera itu diserahkan kepada pihak ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya, manakala dua lagi orang mangsa – seorang lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 58 tahun – dari Mitsubishi Triton dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.





























