Dr Joachim menyantuni ahli PRBS yang hadir dalam program Hari Keluarga persatuan itu, kelmarin.
KUDAT: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam telah merasmikan Majlis Hari Keluarga Persatuan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Dr Joachim memuji usaha yang telah dilaksanakan oleh Presiden PRBS iaitu, OKK Makinsos Nawai dalam menganjurkan program ini.
Beliau turut menyeru agar ahli persatuan itu terus bersatu demi kelangsungan identiti kebudayaan yang diwarisi mereka.
“Sekiranya tidak bersatu dan tiada usaha untuk menyatu-padukan etnik di Sabah maka kita akan kehilangan identiti atau kebudayaan di Sabah ini,” katanya.

Dr Joachim (dua dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Frankey sambil disaksikan oleh Makinsos (kiri).
Suku Rungus merupakan salah satu rumpun Dusun di Sabah. Semua suku yang ada dalam negeri ini termasuk Rungus adalah dikawal selia oleh Persatuan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA).
Dr Joachim yang juga Timbalan Presiden KDCA, menggalakkan orang-orang Rungus untuk terus melibatkan diri dengan aktiviti seperti menyulam manik-manik kerana suku ini sudah sinonim dengan perniagaan manik-manik di negeri ini.
Sementara itu, Makinsos berkata, penubuhan PRBS ini ialah bertujuan memartabatkan lagi adat istiadat Rungus di daerah ini.
Katanya, program ini merupakan acara tahunan yang julung kali diadakan selepas pandemik Covid-19., sambil menambah, sebagai pengisian program, beberapa aktiviti diadakan antaranya sukaneka dan majlis makan malam.

Dr Joachim (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan selepas memalu gong perasmian Hari Keluarga PRBS, sambil disaksikan oleh Makinsos (dua dari kiri).
Makinsos mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Dr Joachim merasmikan Hari Keluarga PRBS pada kali ini.
Terdahulu, Dr Joachim menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa KDCA di Kota Kinabalu yang dipengerusikan oleh Presiden KDCA, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan
Turut hadir Pegawai Pemimpin Masyarakat Daerah Kecil Matunggong, Epson Kawahui mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki; Pengerusi Penganjur Majlis Hari Keluarga, Frankey Suin; Presiden Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA), Muji Ampau; Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christoper Mandut; Ketua Daerah Kecil Matunggong dan Kota Marudu, OKK Samuil Majuin dan OKK Elui Majikin; mantan YB Matunggong, Sarapin Magana dan Atung Mangabis serta semua AJK tertinggi PRBS.





























