Keadaan Perodua Myvi yang terbabas sendiri dan terbalik dalam kejadian di Kunak.
LAHAD DATU: Seorang wanita cedera ringan manakala tiga yang lain terselamat dalam dua kemalangan berasingan akibat terbabas sendiri di sini dan Kunak petang kelmarin.
Wanita berusia 36 tahun itu merupakan seorang daripada dua mangsa yang tersepit dalam kereta Perodua Myvi yang terbabas sendiri di Batu 7 Jalan Segama, di sini, pada kira-kira jam 2.50 petang kelmarin.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi talian MERS999 pada jam jam 2.57 petang.
Sepasukan enam enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Asmori Dahhiarsyah dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 13 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri ke dalam parit sedalam 10 kaki.
“Terdapat dua orang mangsa tersepit telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam. Seorang mangsa dihantar ke hospital menaiki kenderaan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang lagi mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya. Maklumat mengenai mangsa tidak cedera tidak diperolehi.
Operasi ditamatkan pada jam 3.35 petang, tambahnya.

Keadaan Perodua Myvi yang terbabas dalam kejadian di Lahad Datu.
Manakala di KUNAK, dua individu berdepan detik cemas apabila Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sendiri ke tepi jalan dan terbalik.
Ketua BBP Kunak, PPgB Mohamad Omarbatha memberitahu, kejadian berlaku di SK Kg. Selamat Jalan Kg. Sungai Atas, pada kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam jam 2.07 petang dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Oma Tome dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak satu kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri di tepi jalan dan terbalik.
“Kemalangan mengakibatkan kebakaran di bahagian bateri kereta dan telah dipadamkan oleh orang awam dengan menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
“Terdapat dua orang mangsa terlibat dalam kemalangan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Maklumat mengenai kedua-dua mangsa tidak diperolehi.
Menurut Mohamad, pasukan bomba menjalankan pemeriksaaan di kawasan kemalangan untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.18 petang.





























