Phoong berucap semasa dialog antara PEKESTAR dan Fusun International Holding LTD di sini kelmarin.
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe memberi jaminan beliau akan membantu mencari penyelesaian terbaik kepada masalah projek Star City yang telah lama terbengkalai.
“Saya faham banyak komplikasi berkenaan Star City yang berlarutan semenjak 18 tahun lepas, tapi saya akan menjadikan keutamaan saya mengkaji projek ini dan seterusnya cuba membantu keperluan para pembeli Star City sedia ada.
“Saya akan cuba sedaya upaya membantu mencari penyelesaian terbaik untuk kedua belah pihak, para pembeli dan Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC) dalam isu ini,” tegas Phoong yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri dialog antara PEKESTAR dan Fusun International Holding LTD di sini kelmarin untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Phoong juga mengingatkan bahawa beliau telah dipilih oleh rakyat dan menjadi tanggungjawabnya untuk menyelesaikan isu berbangkit di Kota Kinabalu.
Turut hadir pada sesi dialog tersebut adalah Presiden PEKESTAR, Stephen Wong, Pengurus Besar SUDC, Anthony Dumpangol, Timbalan Pengurus Besar, Datin Leena Bohuntang dan Chen Full Qing, Pengurus Projek Fusun International Holding.





























