Pasukan Hazmat membantu salah seorang mangsa terlibat. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tidak sedarkan diri manakala empat lagi selamat selepas terhidu gas beracun berpunca daripada sebuah tong berisi ikan yang telah busuk di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, kejadian itu berlaku di Jeti QL Marine, Sepanggar pada kira-kira jam 8 malam.
“Panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 8.26 malam sepasukan 15 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Floyd Petrus Gasam dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan dilengkapkan dengan sebuah jentera FRT, van EMRS, jentera Hazmat dan kenderaan utility Vigo. Dan turut serta dalam operasi merupakan anggota-anggota perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Setiba di tempat kejadian yang terletak pada jarak 23 kilometer dari BBP, didapati memang benar terdapat gas beracun berpunca dari sebuah tong berisi ikan yang telah busuk,” katanya.
Menurut Ordine, pasukan Hazmat lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut untuk mendapatkan lembaran data keselamatan bahan (MSDS) bahan namun tidak mengesan apa-apa bahan kimia.
Katanya, terdapat lima orang mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 38 tahun dilaporkan terlibat dikeluarkan oleh pasukan Hazmat Bomba.
“Seorang daripada mangsa yang tidak sedarkan diri diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan, sementara dua orang mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan dua lagi mangsa dihantar oleh pihak APM.

“Setelah memastikan tiada keberbahayaan operasi ditamatkan pada jam 10.08 malam,” katanya.





























