Dr. Zaliha Mustafa
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama): Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa berkata, salah faham berkaitan penyakit tibi serta stigma terhadap pesakit dan keluarga perlu dihentikan.
Katanya, komitmen yang tinggi dari anggota kesihatan di samping kerjasama yang erat dari semua agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah amat diperlukan bagi mencapai hasrat Malaysia menamatkan tibi menjelang tahun 2035 menjadi kenyataan.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Tibi Sedunia yang disambut setiap tahun pada 24 Mac sempena memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882.
Tujuan sambutan ini dilakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha-usaha kawalan dan pencegahan yang dilakukan di seluruh negara.
Tema bagi Hari Tibi Sedunia pada tahun ini adalah “Yes! We Can End TB!”. Tema ini memberi inspirasi dan harapan kepada negara dalam usaha dan strategi menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035 melalui penglibatan kepimpinan peringkat tinggi bagi meningkatkan pelaburan dan bersama-sama menggembeling seluruh usaha, tenaga, kepakaran dan inovasi.
Penyakit Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara. Majoriti jangkitan tibi melibatkan paru-paru (tibi pulmonari), namun organ lain juga boleh mendapat jangkitan seperti otak (TB meningitis), tulang (TB spine), kelenjar limfa (TB lymph node), usus (TB gut) dan lain-lain organ badan.
Pada tahun 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 10.6 juta kes tibi di seluruh dunia, melibatkan 6 juta kes lelaki, 3.4 juta kes wanita dan 1.2 juta kes kanak-kanak. Bagi Malaysia, jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2022 adalah 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk) dengan peningkatan sebanyak 3,664 kes (17%) berbanding 21,727 kes (kadar notifikasi 63.5 setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2021. WHO menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 setiap 100 ribu penduduk.
“Namun kadar insiden yang dilaporkan di negara kita ini adalah lebih rendah berbanding sasaran WHO tersebut.
“Sehubungan itu, usaha bagi meningkatkan kadar pengesanan kes melalui saringan awal penyakit tibi perlu ditingkatkan. Individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti penyakit tibi seperti kontak kepada kes tibi, pesakit HIV, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pulmori kronik (jenis obstruktif) dan perokok aktif adalah dinasihatkan melakukan saringan penyakit tibi,” kata Dr. Zaliha.
WHO juga menganggarkan 1.2 juta kematian akibat tibi di peringkat global. Jumlah kematian tibi bagi Malaysia pada tahun 2022 adalah 2,572 kematian (kadar kematian 7.9 setiap 100,000 penduduk), meningkat sebanyak 284 kematian (12%) berbanding 2,288 kematian pada tahun 2021 (kadar kematian 6.9 setiap 100,000 penduduk).
Bagi mengurangkan komplikasi kematian, Dr. Zaliha berkata, individu yang mempunyai tanda dan gejala penyakit tibi seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah diminta menjalani pemeriksaan awal dan rawatan di klinik-klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.
“Rawatan bagi penyakit tibi paru-paru adalah kombinasi ubatan antibiotik anti-tibi yang perlu diambil setiap hari selama enam bulan. Individu yang dijangkiti tibi boleh sembuh dengan mengambil rawatan yang telah diberikan. Pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
“KKM menyarankan agar semua pesakit sentiasa mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan dan berbincang dengan penyelia rawatan jika menghadapi sebarang masalah atau kesan sampingan ubatan,” kata Dr. Zaliha, sambil menambah sokongan ahli keluarga, majikan, rakan sekerja dan masyarakat memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit tidak terhenti rawatan.
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia





























