Oleh: Renugah Rengasamy dan Rashid Ating
Artikel ini tidak mencerminkan pendirian dan dasar institusi yang terlibat. Ia merupakan pendapat, hasil kajian dan pengalaman penulis sendiri semasa terlibat dengan kerja lapangan.
PADA Mac 2020, dunia telah dikejutkan dengan penularan wabak coronavirus atau COVID-19. Perintah berkurung dan kawalan pergerakan telah dikuatkuasakan, semua aktiviti perniagaan dihentikan buat sementara waktu di seluruh dunia sebagai langkah untuk membendung penularan wabak ini.
Penularan wabak COVID-19 ini bukan sahaja memberi impak kepada tahap kesihatan dunia yang tidak mempunyai persediaan secukupnya untuk menghadapi penularan wabak ini pada ketika itu, malah turut menjejaskan ekonomi global termasuk dua kuasa ekonomi terbesar iaitu China dan Amerika Syarikat.
Perintah kawalan berkurung dan penutupan sesetengah industri dari beroperasi secara bersemuka terutamanya pelancongan, perkhidmatan, pendidikan dan perniagaan semasa penularan wabak COVID-19 telah menggalakkan perkembangan norma baharu iaitu peralihan dari platform konvensional kepada digital. Umum kita ketahui bahawa kini, pelbagai aktiviti dapat dijalankan secara atas talian dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.
Aktiviti ekonomi secara atas talian yang diterima umum dan semakin rancak berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini disebabkan kerana pengguna mempunyai lebih banyak masa di rumah berbanding kebiasaan. Ini menyebabkan jenayah siber juga turut meningkat dan menjadi salah satu ancaman kepada pengguna. Antara salah satu jenayah siber yang menjadi ancaman terbesar ialah penipuan atas talian atau lebih dikenali sebagai ‘online scam’.
Penipuan atas talian di Malaysia
Berdasarkan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekitar tahun 2020 sehingga Mei 2022, 68% daripada kes penipuan yang membabitkan RM5.2 billion ialah kes penipuan atas talian.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) pula melaporkan masih terdapat beberapa kes penipuan atas talian yang berprofil tinggi seperti pencerobohan iPay88 dan AirAsia.
Selain itu, negara juga dikejutkan dengan kebocoran 22.5 juta data peribadi rakyat Malaysia melalui platform myIDENTITI. Penipuan siber ini semakin berleluasa apabila lebih banyak perkhidmatan ditawarkan secara atas talian bagi kemudahan pengguna. Semakin banyak perkhidmatan yang ditawarkan secara talian, makin sukarlah untuk pihak berkuasa untuk mengawasi dan memantau setiap transaksi yang dilaksanakan.
Kes penipuan atas talian ini mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sejak dunia dilanda dengan wabak COVID-19. Ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, kebanyakan syarikat tidak dapat bertahan sepanjang tempoh kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dan terpaksa memilih untuk menutup syarikat dan memberhentikan pekerja mereka. Kadar pengangguran yang tinggi menyebabkan individu mudah terjerumus dan cenderung untuk memilih melakukan aktiviti penipuan atas talian ini sebagai jalan mudah bagi mendapatkan duit bagi meneruskan kehidupan seharian.
Bagaimana penipuan atas talian berkait rapat kemelesetan ekonomi
Apabila berlakunya krisis kewangan, masyarakat akan mengalami tekanan kewangan dan akan cenderung untuk mencari peluang untuk menjana pendapatan dan menyelesaikan masalah kewangan mereka.
Antara golongan yang paling terkesan daripada krisis ini ialah mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan bandar. Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Komitmen bulanan mereka seperti bayaran sewa rumah, ansuran kereta dan lain-lain lagi akan menyebabkan kehidupan mereka semakin terhimpit. Keadaan semakin bertambah buruk bagi pasangan yang mempunyai anak, yang berumur dari dua bulan sehingga setahun, kerana banyak perbelanjaan yang diperlukan terutamanya untuk pembelian lampin dan susu bayi. Perbelanjaan anak juga berbeza mengikut peringkat umur dan tahap pembesaran mereka. Perbelanjaan menjadi lebih banyak apabila anak semakin meningkat dewasa dan sebaliknya.
Berdepan dengan segala jenis komitmen ini, para ibu bapa tidak mempunyai sebarang simpanan untuk diri anak-anak mereka, apatah lagi untuk diri mereka sendiri.
Scammers akan mengambil kesempatan dari situasi ini dengan menawarkan peluang dan tawaran yang tidak wujud contohnya seperti peluang pelaburan, peluang pekerjaan atau geran daripada kerajaan yang menjanjikan hasil yang lumayan dalam jangka masa yang singkat.
Semasa kemelesetan ekonomi, scammers akan mewujudkan laman sesawang mencari pekerjaan palsu dan akan menghantar email yang menjanjikan bayaran gaji yang tinggi sambil boleh bekerja dari rumah. Realitinya, kerja dan peluang yang ditawarkan adalah tidak wujud sama sekali sebaliknya ianya memerlukan bayaran pendahuluan terlebih dahulu untuk “menempah atau membida” peluang pekerjaan ini.
Disebabkan komitmen bulanan dan tanggungjawab kepada pasangan dan anak-anak, ramai mangsa kehilangan wang mereka kerana terpaksa membayar wang pendahuluan terlebih dahulu untuk mengesahkan mereka akan mendapat peluang pekerjaan ini.
Ini menyebabkan kekerapan penipuan untuk berlaku akan meningkat kerana scammers melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk mereka mengambil kesempatan ke atas golongan yang bergelut dengan masalah kewangan. Skim penipuan seperti skim Ponzi, peluang pelaburan palsu dan skim piramid akan menjadi lebih berleluasa.
Dalam keadaan yang mencabar ini, golongan yang terkesan akan bertindak dan menjadi agak agresif. Kerana kes penipuan atas talian yang kian berleluasa, sebarang usaha untuk mengedarkan borang kaji selidik dengan mengguna Whatsapp kebiasaannya akan mempunyai kadar tindak balas yang rendah.
Ini kerana sebarang usaha untuk mendapatkan maklumat dengan menggunakan Google Form akan dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan bertujuan untuk mengeksploitasi mereka yang sedang terhimpit (dengan pengecualian borang kaji selidik ini diedarkan oleh rakan terdekat mereka atau mereka telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara ini)
Secara ringkasnya, kemelesetan ekonomi dunia dan kes-kes penipuan dalam talian boleh dikaitkan dalam beberapa cara.
Kemelesetan ekonomi sebenarnya telah mendedahkan bertapa mudahnya orang awam terutama mereka yang menghadapi krisis kewangan terdedah kepada pelbagai jenis skim penipuan. Adalah penting untuk terus berwaspada dan mengambil langkah keselamatan untuk melindungi diri, pasangan dan ahli keluarga yang terdekat daripada terdedah kepada pelbagai taktik penipuan dalam talian, terutamanya semasa kemelesetan ekonomi ini.
Mengenai penulis

Renugah Rengasamy. Ketua Jabatan Bahagian Teknologi Maklumat (IT) di Institut Sosial Malaysia. Beliau juga ialah Calon Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi (FSKTM), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, Malaysia.

Rashid Ating. Penyelidik di Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, Malaysia.