Hajiji dan rombongan bersama pelajar Sabah selepas perhimpunan di Al-Saraya Intercontinental, Hotel City Star, di Kaherah, Mesir, semalam.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri meluluskan RM1.85 juta untuk membantu meringankan beban pelajar Sabah yang sedang belajar di Mesir, Arab Saudi dan Jordan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Kerajaan Negeri memahami kos sara hidup tinggi yang dihadapi oleh pelajar di Timur Tengah,” katanya sambil menambah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Yayasan Sabah akan menyelaraskan bantuan itu.
Ketua Menteri membuat pengumuman itu pada majlis perhimpunan bersama pelajar Sabah yang sedang menuntut di universiti-universiti di Mesir, Jordan dan Arab Saudi anjuran Yayasan Sabah di Al-Saraya Intercontinental, Hotel City Star, di Kaherah, Mesir, semalam.
Lebih 200 pelajar Sabah sedang menuntut di negara-negara tersebut.

Hajiji dan isteri bergambar bersama beberapa pelajar selepas minum pagi.
“Saya mahu anda semua terus fokus pada pelajaran dan gunakan peluang ini untuk mempelajari al-Quran dan Hadis secara mendalam. Dengan pemahaman yang lebih mendalam akan meningkatkan nilai intelek anda yang akan menjadi aset kepada anda apabila kembali berkhidmat kepada negara,” katanya.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar.
Beliau turut menyaksikan penyerahan RM10,000 untuk membeli buku perpustakaan Wisma Yayasan Sabah di sini daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), set Hadrah bernilai RM4,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah serta set komputer kepada Persatuan Pelajar Mesir disumbangkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

Hajiji dirakam gambar wefie oleh salah seorang pelajar.
Ketua Menteri turut minum pagi bersama pelajar sebelum terbang bersama isteri dan rombongan ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Pada 16 Mac, Ketua Menteri melawat Ekspo & Persidangan Keselamatan Maklumat Teluk (GISEC) di Pusat Dagangan Dunia Dubai. Beliau diiringi oleh Safar, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie dan ahli-ahli lembaga pengarah.





























