Stanley (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama peserta Program Sesi akibat Urus Pemerkasaan PBT Hijau Siri 1/2023- Kursus Semakan Pelan baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama Majlis Daerah Penampang menganjurkan Program Sesi Libat Urus Pemerkasaan PBT HIJAU Siri 1/2023 – Kursus Semakan Pelan di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini, pada Khamis (16 Mac).
Ini merupakan anjuran kali yang kelima (5) sejak dokumen Piawaian Perancangan Pembangunan Landskap (PPPLNS) bagi keperluan minimum 10% kawasan lapang untuk setiap pembangunan diluluskan oleh Kabinet pada 27 Mac 2019. Program ini merupakan usaha konsisten dan berterusan Kementerian untuk penyeragaman dan penguatkuasaan di peringkat negeri dalam memastikan penyediaan kawasan lapang yang berkualiti, teratur dan ditadbir urus oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan baik.
Selain itu, ianya bertujuan untuk memperkasakan perkhidmatan PBT agar lebih kompeten dalam menyemak pelan yang dikemukakan selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memudahcara perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat.
Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I KKTP, Stanley Chong dan beliau juga menekankan kepentingan lokasi perletakan 10% kawasan lapang amat penting bagi menentukan keberkesanan penggunaan optimum kawasan rekreasi tersebut. Menyedari hal yang demikian, PBT berperanan penting dalam penyediaan kawasan landskap berkualiti.
Anjuran program yang dirancang oleh Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP ini diketuai LAr. Nurulhayati Awang More, Ketua Penolong Setiausaha (Landskap) melibatkan 70 peserta yang terdiri daripada Pegawai-pegawai KKTP serta PBT.
Usaha penyediaan landskap yang teratur adalah bertepatan dengan usaha ke arah pembangunan lestari demi memastikan kesejahteraan dapat dinikmati oleh rakyat sebagai pembayar cukai. Demikian, kementerian ini mengambil peranan yang proaktif ke atas usaha di peringkat negeri, nasional dan global seperti The 2030 Agenda For Sustainable Development , Malaysia Baharu dengan Konsep Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lestari dan berdaya huni.
Sehubungan dengan itu juga, Dasar Landskap Negeri yang telah diluluskan pada 2 November 2022 merangkumi pelbagai pelan tindakan termasuklah meletakkan peranan landskap antara teras strategi utama dalam memandu pembangunan landskap negeri Sabah. Melalui kementerian dan PBT, pelbagai program libat urus bersama golongan pemegang taruh dirangka bagi memastikan matlamat holistik dicapai.





























