Mangsa dibawa naik ke daratan. – Ihsan Bomba
KENINGAU: Seorang lelaki berusia 41 tahun lemas selepas tergelincir semasa melakukan aktiviti memukat ikan di Kolam Simpanan Air Kilang Java Batu 5, di sini, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 7.50 pagi.
“Panggilan diterima menerusi talian balai mengenai mangsa yang dikhuatiri lemas dan sepasukan 13 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Raizaain Ag. Damit dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian terletak sembilan kilometer dari BBP itu, didapati seorang mangsa lelaki, Anwar Taming dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir semasa memasang pukat ikan.
“Pasukan bomba membuat pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dan berjaya menjumpai mangsa yang kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 10.03 pagi, katanya.





























