Hajiiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM97.5 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk pembangunan belia dan sukan, menaik taraf kemudahan sukan dan penyediaan pengajian sains sukan tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memajukan pembangunan sukan di Sabah.
“Sebagai Ketua Menteri Sabah, saya mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet dan ahli sukan yang hebat yang akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara kita.
“Ramai yang telah cemerlang dan membanggakan Sabah dan daerah dalam arena sukan negara dan antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran Kejohanan Ragbi Borneo Sevens 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Ketua Menteri berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada sukan seperti ragbi supaya bakat muda dapat dicungkil dan diolah.
“Sabah, seperti yang kita semua tahu sudah pun menjadi salah satu ‘power-house’ sukan ragbi di Malaysia dan saya amat berbangga kerana pasukan ragbi lelaki Sabah cemerlang dan berjaya memenangi Piala Agong yang berprestij setakat ini. Ini petanda. baik untuk ragbi di negeri ini dan saya ingin melihat pasukan ragbi kita melonjak ke tahap yang lebih tinggi,” kata Hajiiji.
Ketua Menteri berkata, dengan Kesatuan Ragbi Sabah dan Kelab Ragbi Eagles antara perintis dalam melaksanakan teknik dan modul terkini dalam pembangunan sukan, beliau boleh meramalkan masa depan yang baik untuk permainan itu di sini.
“Saya gembira mendapat tahu bahawa Ragbi Sabah telah menetapkan standard dalam pembangunan sukan yang harus dicontohi ramai,” katanya.
Hajiji yakin bahawa pegawai Ragbi Sabah mempunyai keupayaan untuk menganjurkan Borneo Sevens dengan berkesan, yang merupakan acara yang disetujui Ragbi Asia.
“Dengan kehadiran pasukan luar negara ternama dan pasukan terbaik Malaysia beraksi dalam kejohanan ini, peminat sukan khususnya peminat ragbi akan disajikan dengan kecemerlangan ragbi pada Mac akan datang.
“Saya yakin Borneo Sevens akan terus berkembang prestij dan menjadi acara teras dalam kalendar kejohanan untuk semua pasukan ragbi di rantau ini,” katanya.





























