Matbali Musah
KOTA KINABALU: Kerosakan jalan raya berikutan kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dari Sipitang ke Beaufort perlu dipantau dan diberi perhatian serius.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan telah menyebabkan kerosakan teruk pada jalan raya yang menjadi laluan pengguna saban hari.
Selain itu, katanya, jalan raya Mendulong-Meligan dan Meligan-Long Pasia, sejauh 140 kilometer, juga perlu dinaik taraf.
“Perkara ini amat mendesak dan amat diperlukan oleh penduduk agar mereka menikmati makna dan erti kemerdekaan yang kini sudah mencapai 60 tahun.
“Selain itu, masalah elektrik dari Meligan ke Long Pasia juga perlu diatasi segera memandangkan projek solar hybrid di kedua-dua tempat itu belum siap sepenuhnya,” katanya.
Beliau menambah, laluan sungai (low level crossing) ke beberapa kawasan, termasuk Long Pasia yang perlu dinaik taraf.
Matbali berkata demikian ketika membahas untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur.
Matbali turut membangkitkan keperluan untuk menaik taraf Jalan Kg. Bangkalalak ke Kg. Mentulud dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, sejauh 2.5km, yang sudah bertahun-tahun lamanya diperjuangkan.
Ini selain Projek Rancangan Tebatan Banjir Sindumin, dengan cadangan pembinaan alur limpah, parit aras tinggi dan kerja-kerja berkaitan di Sungai Mengalong, Sindumin, dan rancangan Tebatan Banjir dengan cadangan mendalamkan Sungai Lukutan Hilir.
Beliau juga meminta agar kemudahan asas di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) perlu dinaik taraf bagi menarik kemasukan lebih ramai pelabur asing.
Menurutnya, Sipitang merupakan satu daripada koridor penting ekonomi Sabah dan negara keseluruhannya berikutan pelaksanaan SOGIP yang melibatkan kawasan seluas 1,600 hektar.
Matbali juga telah membangkitkan tentang kemudahan jalur lebar yang perlu diperkasakan di kawasan Sipitang memandangkan masih banyak kawasan tidak mempunyai liputan telekomunikasi.
“Kita berharap agar lebih banyak stesen pemancar dibina di kawasan Sipitang supaya lebih luas kawasan dapat diliputi rangkaian telekomunikasi,” katanya.
Ketika ditemui wartawan kemudian, Matbali berkata, sebenarnya banyak isu hendak dibawanya tetapi disebabkan kekangan masa, maka isu-isu lain akan dibangkitkan dalam persidangan akan datang.
Katanya, antara isu yang turut dibawanya ialah isu bekalan air bersih bagi penduduk Sipitang yang berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan tindakan segera menaik taraf loji-loji air sedia ada.
Selain itu, isu hakisan jalan dan tebing sungai di kawasan Lumadan juga memerlukan perhatian segera pihak berkuasa.
Antaranya termasuk jalan Kg. Luagan Sanginan, Kg. Batandok Lupak, Kg. Lupak, Kg. Tuhu Lupak, Kg. Gadong, Kg. Labi, Kg. Lalanggut, Kg. Suasa, Kg. Kaundu, Kg Pintas dan Kg. Barumbai.
Menurutnya, selain jalan raya, tebing Sungai Padas berdekatan jalan di kampung-kampung berkenaan juga mengalami hakisan teruk dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya dalam jangka panjang.
Matbali juga meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) melebarkan bahu kiri dan kanan jalan raya dari Kg. Lajau ke Kg. Kabajang.
“Ini penting untuk memudahkan pengguna atau penduduk meletakkan kenderaan ketika kecemasan,” katanya.































