Hajiji dan para pemimpin GRS lain bergambar dengan sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS & Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Raia Hotel, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor hari ini mengumumkan akan mengetuai sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini dan telah diterima oleh GRS sebagai parti gabungan pada 9 Disember lalu.
“InsyaAllah, kita akan menggerakkan dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Rakyat demi pembangunan rakyat serta negeri ini.
“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai Ketua Menteri.
“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Rakyat,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Hajiji bersama Dr. Maximus dan Datu Hishamuddin di Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS & Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Raia Hotel, Kota Kinabalu, hari ini. Turut hadir, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star), Datuk Ellron Alfred Angin.
Menjawab soalan, Hajiji berkata, Gagasan Rakyat adalah parti sedia ada yang kini diambil alih dan diketuainya.
GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat); Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji turut berasa hairan dengan sikap beberapa pihak yang masih tidak puas hati dengan pentadbirannya.
“Saya hairan kenapa sedangkan kita mengurus negeri dengan baik. Namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan tamak dengan kedudukan.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan rakyat dan kerana kita telah berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah, kita boleh mengatasi semua cabaran dalam pemerintahan ini,” katanya.
Mengenai majlis itu, Hajiji melahirkan rasa gembira atas penganjuran konvensyen itu dan mahu semua mahasiswa termasuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas mempunyai pengetahuan mengenai keadaan dan perjuangan politik di negara ini termasuk di Sabah.
“Justeru, saya mahu lebih ramai mahasiswa Sabah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta seluruh negara dilibatkan dalam program yang dilaksanakan oleh Sayap Pelajar GRS.
“Menerusi penglibatan mereka dalam program seperti ini, Kerajaan akan lebih maklum segala kemahuan atau permintaan yang disuarakan oleh anaik-anak muda,” katanya.

Hajiji menerima Resolusi daripada Datu Hishamuddin di Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS & Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Raia Hotel, Kota Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, selain konvensyen ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai platform kepada pelajar untuk berkongsi aspirasi dan juga menyuarakan hak mereka.
“Antaranya ialah penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA). Semua ini memperlihatkan pengiktirafan kerajaan kepada anak muda terutamanya pelajar.
“Sebagai Ketua Menteri, saya akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap setiap usul yang dicadangkan demi kepentingan bersama termasuk menerusi konvensyen ini,” katanya.
Sehubungan itu Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.
“Semua ini adalah bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi, Saya berharap anak muda kita akan mengambil peluang segala inisiatif yang disediakan Kerajaan kerana anda semua adalah aset yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau turut mengajak para mahasiswa untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan dalam usaha membawa Sabah lebih maju dan makmur serta menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Hadir sama Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim.