RANAU: Hujan lebat luar biasa yang turun berterusan mulai jam 5 petang Rabu menyebabkan banjir kilat di banyak kawasan di sini yang mengancam keselamatan penduduk serta pengguna jalan.
Pada kira-kira jam 10 malam, jalan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu terputus apabila pembetung di bawah jalan utama runtuh berikutan kegagalan benteng.
Kejadian berlaku kira-kira 1 Kilometer dari Pekan Ranau dan menyebabkan ratusan kenderaan terkandas.

Terdapat satu jalan alternatif iaitu jalan Lasing-Tagudon Baru-Sinarut Baru, tetapi terdapat risiko jambatan yang menghubungkan laluan ini untuk runtuh juga.
Banjir kilat juga berlaku di hadapan Pasaraya Sabindo dan beberapa kampung lain seperti Kg Libang, Kituntul, Marakau dan kawasan sekitarnya.
Kemaskini jam 10.40 malam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JKR) Ranau telah mengeluarkan Notis Penutupan Sementara Jalan Kota Kinabalu-Sandakan.
Ketua JKR Ranau, Alvonna Farhanah Jammy berkata, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, di Ranau (hadapan Riverside Road) kilometer 109.378, Ranau ditutup serta merta bagi semua kenderaan bermula 4 Januari 2023 berikutan hujan lebat berterusan mengakibatkan kegagalan pembetung dan jalan putus yang membahayakan laluan tersebut.
“Pengguna jalan raya boleh mengambil laluan alternatif melalui Jalan Sinarut Baru Togudon Baru (hanya untuk kenderaan kecil). Sila ikut arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Segala kesulitan amat dikesali dan berharap para pemandu bersabar demi keselesaan semua pada masa hadapan,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan makluman bahawa sekurang-kurangnya lima kawasan terjejas dalam episod malam sebelumnya iaitu Kg. Libang, Tagudon Baru, Kituntul Lama, Jalan Airport Lama dan Lasing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, di Libang, tanah runtuh kecil berlaku berhampiran kawasan kediaman. Kejadian yang sama berlaku di Kg. Lukapon dan beberapa kawasan lain.
Di Kg. Tagudon Baru, Kituntul Lama, Jalan Airport Lama dan Lasing, semua kejadian melibatkan penyelamatan mangsa banjir kerana hujan lebat berterusan menyebabkan isipadu air yang luar biasa mengalir di kawasan yang biasanya tidak berisiko.
Pada pagi kelmarin, hujan terus turun dengan perlahan dan tinjauan media di sepanjang kawasan yang terjejas akibat banjir mendedahkan kesan yang menyayat hati.
Walaupun paras air surut di semua kawasan, penghuni rumah, pejabat dan struktur yang dinaiki air bertungkus-lumus membuang lumpur dan mendapan lain yang tersadai selepas banjir.
Gambar dan video yang dikongsi oleh mangsa serta orang ramai di media sosial mendapat ratusan komen positif dan galakan daripada netizen.

Sementara itu, kesesakan lalu lintas juga semakin meningkat di sepanjang jalan Lohan – Ranau apabila pengguna jalan raya menelusuri laluan alternatif di Lasing – Tagudon Baru – Sinarut Baru – Takurik.
Jalan kampung yang sempit hanya boleh dilalui oleh kenderaan kecil dan mereka yang mempunyai urusan mendesak terpaksa melalui laluan ini sambil berharap jambatan kecil yang merentasi aliran Takurik tidak akan runtuh akibat aliran trafik yang tidak berkesudahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Ranau telah mengeluarkan makluman memaklumkan sekurang-kurangnya 45 individu berjaya diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Dewan IPD Ranau.
Mereka terdiri daripada 25 orang dewasa, 13 kanak-kanak dan tiga bayi.
Setakat jam 5.50 pagi, direkodkan mangsa dikumpulkan daripada operasi menyelamat di Kg. Libang, Kg. Marakau, Kg. Kituntul, Kg. Silou, Kg. Lasing dan Kg. Bahab.































