KIULU: Mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengambil alih Kerajaan Negeri sepatutnya menunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk menentukan sama ada mereka mendapat sokongan rakyat.
“Mengapa membuat rancangan untuk menggulingkan Kerajaan Negeri pada masa yang sepatutnya menjadi tumpuan kita ialah u untuk menyegerakan dan mempergiat usaha membangunkan negeri?” tanya Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai.
Bercakap pada program bersama rakyat di Kampung Romokon di sini, beliau percaya majoriti rakyat Sabah menentang sebarang rancangan atau tindakan untuk menggulingkan Kerajaan Negeri sekarang.
“Jangan kita lupa keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-16 pada 2020 yang mana parti yang menggulingkan kerajaan negeri yang telah ditubuhkan menerusi pembelotan telah ditolak,” kata Joniston tanpa mengulas lanjut.
Joniston menjawab kebimbangan penduduk kampung mengenai perbincangan berterusan mengenai langkah pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri.

Joniston Bangkuai
“Janganlah kita ganggu kerja baik dan produktif yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sekarang.
“Adalah dikesalkan bahawa pihak tertentu nampaknya tidak pernah berhenti menggugat Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan ADUN Kiulu menegaskan, sebarang langkah yang boleh membawa ketidakstabilan politik di Sabah harus dielakkan dan sebaliknya semua yang berkenaan perlu fokus kepada usaha mengukuhkan perpaduan.
Di bawah kepimpinan Hajiji yang berkebolehan, Joniston berkata, Sabah telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa termasuk mencatatkan hasil negeri tertinggi pernah dicapai iaitu sebanyak RM6.6 bilion pada 2022, antara lain.
Selain itu, peruntukan tahunan ADUN tahun ini dinaikkan kepada RM3 juta, dengan RM2.5 juta diperuntukkan untuk projek-projek kecil dan RM500,000 untuk program touch point.
Kelmarin, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun mendedahkan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.































