Dr. Bonaventure menyampaikan hadiah kepada Beatrice.
TAMPARULI: Beatrice daripada Kg. Lapai, Tenghilan, dinobatkan sebagai Juara Sugandoi Mitatabang yang dianjurkan oleh Presiden Pertubuhan Gerak Bantu Komuniti Sabah (Mitatabang Komuniti) di sini.
Dia membawa pulang wang tunai RM1000, piala dan baucar makanan bernilai RM100.
Manakala, Naib Juara dirangkul oleh Allysia Francis dari Kg. Tombung, Kiulu dan tempat ketiga dimenangi oleh Ain Fariesha dari Kg. Lohan Ulu, Ranau.

Kategori Peserta Paling Popular pula dimenangi oleh Rayon Sitim dari Kg. Tinambak, Tamparuli, berdasarkan undian.
Pertandingan Sugandoi Kaamatan Mitatabang 2023 itu menampilkan 10 peserta akhir dari Kiulu, Tamparuli, Kota Belud dan Ranau.
Di samping itu, program ini turut dimeriahkan lagi dengan acara cabutan tiket bertuah di mana pemenang hadiah utama membawa pulang ATV (125cc).
Presiden Mitatabang Komuniti, Prof Madya Dr. Bonaventure Boniface dalam ucapannya berkata, Mitatabang Komuniti sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program tersebut bagi membantu mencungkil bakat muda sekaligus memperkasa golongan belia, selain memberikan kursus kemahiran kepada komuniti setempat.
Beliau berharap sokongan yang berterusan daripada industri dan komuniti agar program seumpama ini dapat dijalankan pada masa masa akan datang.
Dr. Bonaventure turut berterima kasih kepada para penaja, peserta serta komuniti yang hadir memeriahkan acara berkenaan.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim yang juga ADUN Tamparuli dan para pemimpin masyarakat setempat.





























