Keadaan mangsa di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas yang maut semasa melakukan aktiviti mendaki bukit (hiking) di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, mangsa yang dikenalpasti sebagai Wong En Fatt, 71, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku di Bukit Tun Fuad, Kota Kinabalu pada kira-kira jam 10 pagi.
Katanya, BBP Lintas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi talian MERS999 pada jam 10.08 pagi dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd. Faizal Alias dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP itu, didapati terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri semasa menjalankan aktiviti mendaki bukit.
“Pasukan KKM yang telah berada di lokasi memberikan rawatan awal kepada mangsa yang dikenalpasti sebagai Wong En Fatt, 71 tahun, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya.
Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada jam 11.49 pagi, katanya.































