SEPANG (Bernama): Tiga lelaki maut dipercayai akibat disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman ketika dihubungi mengesahkan kejadian membabitkan ketiga-tiga individu tersebut.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu meninggal dunia disambar petir ketika berteduh di bawah sebatang pokok di kawasan berkenaan.
Kesemua mangsa berusia 16, 18 dan 26 tahun.
“Mangsa berteduh selepas membaiki sebuah kenderaan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan tiga individu dipercayai kesemuanya lelaki terbaring dan telah meninggal dunia akibat disambar petir ketika kejadian hujan lebat hari ini. — BERNAMA






























