Keadaan kebakaran melibatkan sebuah bangunan tempat menyimpan buggy dan peralatan golf di SGCC, Kota Kinabalu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Sebuah bangunan tempat menyimpan buggy dan peralatan golf hampir musnah dalam satu kebakaran di sini tengah malam tadi.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi memberitahu, kejadian berlaku di Sabah Golf & Country Club (SGCC) pada kira-kira jam 12 tengah malam.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 12.28 tengah malam dan sepasukan 12 anggota diketuai oleh beliau sendiri sebagai Komander Operasi bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP itu, kita mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah bangunan dua tingkat, Buggy House jenis kekal ukuran 60×30 kaki persegi terbakar 80 peratus.
“Turut terlibat anggaran 60 buah kereta buggy dan peralatan golf musnah terbakar,” katanya, sambil menambah pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan 300 kaki sumber air dari jentera FRT dan water tanker.
Agustavia berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.15 pagi dan kerja overhaul dijalankan.
Operasi ditamatkan pada jam 2.30 pagi dan tiada mangsa terlibat, tambahnya.