Datuk Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan akan meneliti alternatif terbaik untuk menggalakkan pemaju perumahan swasta ini terlibat sama di dalam program pembangunan perumahan awam kos rendah, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Ini walaupun diketahui sambutan yang akan diterima nanti tidak menggalakkan atas sebab keuntungan yang rendah, tambahnya.
“Dalam usaha untuk menggalakkan penyertaan pemaju swasta dalam pembinaan rumah kos rendah, pelbagai insentif dan galakan telah diberikan kepada pemaju perumahan untuk membina rumah kos rendah tetapi mereka lebih cenderung untuk membina rumah mampu milik, kos sederhana dan tinggi bagi memaksimakan keuntungan,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Raime Unggi (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Raime bertanya apakah usaha pihak kementerian untuk menangani masalah pembinaan rumah kos rendah yang kian berkurangan oleh pihak pemaju rumah akibat kenaikan kos bahan binaan yang di Sabah.
Dr. Joachim berkata, harga rumah kos rendah adalah di antara RM42,000 hingga RM55,000 seunit.
Berikutan peningkatan kos bahan mentah yang semakin meningkat dan kadar harga rumah kos rendah tersebut, katanya, pihak swasta didapati tidak berminat untuk membina rumah kos rendah.
“Pada masa kini, pelaksanaan program rumah kos rendah bergantung sepenuhnya kepada dana peruntukan kerajaan sama ada daripada Kerajaan Negeri ataupun Persekutuan.
“Pembinaan rumah kos rendah di negeri ini dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan danBandar (LPPB) bagi agensi Kerajaan Negeri dan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi agensi Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Bagi pembangunan rumah kos rendah di bawah agensi Kerajaan Negeri iaitu program pembinaan rumah di atas tanah sendiri melalui Skim Pinjaman Perumahan untuk Golongan Berpendapatan Rendah (SPPUGBR) serta Skim Pinjaman Rumah Panjang (SPRP) dikendalikan oleh pihak LPPB, katanya, setakat ini LPPB telah membina sebanyak 29,218 unit rumah kos rendah di seluruh Sabah.
“Manakala sebanyak 175 unit lagi sedang dibina di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ini yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025,” tambahnya.
Manakala peruntukan daripada Persekutuan, program yang dibuat adalah Program Perumahan Rakyat (PPR) disewa yang dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN); Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM); dan PRIMA.































