Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika menentang pemain China, Lu Guang Zhu pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia menyelamatkan suasana suram di Axiata Arena apabila seorang demi seorang wakil Malaysia tumbang, kelmarin, dengan kemenangan bergaya ke atas Lu Guang Zu dari China pada pusingan pertama Malaysia Masters 2023 di sini, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Jaguh No. 10 dunia itu menundukkan pencabarnya yang menghuni ranking ke-12 dunia menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-19.
Zii Jia ketika ditemui pemberita berkata, permulaan yang mudah buatnya dalam set pertama, tetapi, apabila permainan masuk set kedua Guang Zu cuba bangkit.
“Semasa set kedua, saya lihat dia sudah dapat baca saya punya permainan.
“Dia cuba ubah strategi, tetapi, nasib baik perancangan saya menjadi,” katanya.
Zii Jia juga mengakui persembahannya pada Piala Sudirman banyak membantu dia bermain baik, malam tadi.
Namun, jelas pemain berusia 25 tahun itu, Guang Zu juga tidak memberi laluan mudah kepadanya dan jaguh China tersebut memiliki pertahanan yang bagus.
“Jujur saya katakan, semasa ketinggalan dalam set kedua, saya sudah mula fikir set ketiga.
“Tetapi peluang tiba-tiba datang dan saya manfaatkannya dengan baik,” tambah Zii Jia.
Pemain Taiwan, Lin Chun-Yi menanti anak kelahiran Kedah itu pada peringkat 16 terbaik, hari ini.





























