Dr. Joachim (tiga dari kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Shirley Ipang, penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEANS Sabah tahun 2022
KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan dan sumbangan yang diberikan oleh penjawat awam yang merupakan aset penting sebagai agen pengantara di antara rakyat dan kerajaan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Kerana itu katanya, Kerajaan memberikan penganugerahan dan penghargaan yang merupakan manifestasi keprihatinanannya dalam menghargai para penjawat awam.
“Sebagai aset penting Kerajaan, para penjawat awam juga perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) di Hotel Hilton, di sini malam ini.

Dr. Joachim (enam dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEANS Sabah tahun 2021 dan 2022
Dr. Joachim juga menyeru agar warga kerja memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah (character building) iaitu melalui penambahan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran (multitasking) seiring dengan rentak arus pemodenan dan amalan budaya baharu.
Ini selain mengamalkan nilai-nilai murni serta ciri-ciri peribadi yang positif termasuk mengutamakan aspek integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas yang telah diberikan, tambahnya.
“Aspek integriti dan pemantapan anti-rasuah haruslah sentiasa menjadi agenda utama sesebuah organisasi agar sentiasa kukuh dan telus,” tegasnya.
Beliau berharap penganugerahan dan penghargaan pada majlis ini menjadi sumber inspirasi serta motivasi semua warga kerja untuk membentuk budaya perkhidmatan yang berkualiti, berintegriti dan berprestasi tinggi seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohamad Hamsan Ag. Supain; Setiausaha Tetap, Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Encik Majaran Bin Osman; Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Siti Zuraihan Ag. Mohd. Husin; Timbalan Pengarah (Pembangunan), Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing; Ketua Penolong Pengarah ILMAN, Maraban Tunggkil, Pegawai-Pegawai Kanan, kakitangan dan seluruh warga Jabatan.































