Ellron menyampaikan APC kepada salah seorang penerima.
KOTA KINABALU: Warga kerja Lembaga Sukan Sabah diseru agar terus menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menyampaikan perkhidmatan di tempat kerja masing-masing.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, sebagai penjawat awam iaitu benteng dan tulang belakang Kerajaan, mereka perlu bekerja dengan penuh semangat dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Ini bagi mencapai matlamat untuk melahirkan atlet-atlet cemerlang dan masyarakat yang sihat, aktif dan produktif melalui penyediaan kemudahan sukan, katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih bagi tahun 2022 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Lembaga Sukan Sabah bagi tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.
Ellron yang juga ADUN Sook berharap, pengiktirafan berupa APC yang diberikan pada majlis itu akan dapat menyuntik semangat dan mencetus inspirasi kepada semua warga Lembaga Sukan Sabah untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi.
“Penganjuran majlis seumpama ini akan dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan Kerajaan untuk terus memberikan komitmen, mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi.
“Kita harus menyahut cabaran ini, dengan mewujudkan persaingan yang sihat dalam membuktikan keupayaan diri masing-masing dan secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat bagi mencapai visi dan misi Lembaga Sukan Sabah,” ujarnya.
Mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima APC Lembaga Sukan Sabah bagi tahun 2022, beliau berharap prestasi cemerlang yang ditunjukkan dapat menjadi contoh kepada semua warga Lembaga Sukan Sabah dan dapat memberi pengaruh dan impak yang positif ke arah kecemerlangan Kementerian Belia dan Sukan keseluruhannya.
Kepada kakitangan yang telah menamatkan perkhidmatan di Lembaga Sukan Sabah, beliau berharap mereka semua dapat mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif.
“Kawal pemakanan, seimbangkan gaya hidup dengan membuat aktiviti fizikal dan rehat yang secukupnya,” katanya.





























