IPOH: Sebanyak 21 syarikat industri, empat institusi pengajian tinggi dan tiga agensi kerajaan menyertai program “Hari Bersama Industri Politeknik Ungku Omar 2023”, yang diadakan selama tiga hari bermula 9 Mei.
Sekurang-kurangnya 200 peluang pekerjaan/latihan industri dalam pelbagai bidang turut ditawarkan pada program dwi-tahunan Politeknik Ungku Omar (PUO) itu.
Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan PUO, memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang-peluang kerjaya di dalam industri serta berpeluang merasai sesi temuduga untuk penempatan latihan industri atau penawaran pekerjaan.
Para pelajar juga berpeluang mendapatkan maklumat bagi menyambung pengajian yang sedia ada selepas tamat belajar dari institusi pengajian tinggi yang dijemput bersama.
Pihak industri juga dapat mengenali para pelajar dan mengenalpasti mereka yang berpotensi dan yang akhir sekali sudah pasti, bagi mengukuhkan kolaborasi progresif antara industri dan PUO.
Pengisian aktiviti adalah seperti forum bersama-sama alumni Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rangkaian Bekalan) & Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam; Seminar Kerjaya oleh Perkeso Negeri Perak, Tetra Pak (M) Sdn. Bhd.; dan Seminar Kelestarian oleh Persatuan Pencinta Teknologi Hijau Malaysia (Malaysia Green Technology Society). Manakala Institusi Pengajian Tinggi yang terlibat adalah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST). Selain mengadakan taklimat peluang menyambung pengajian kepada para pelajar, pameran pendidikan juga diadakan.
Unit Kebolehpasaran dan Kerjaya (CISEC) PUO sentiasa berusaha meningkatkan kolaborasi strategik, dengan mengorak langkah bersama rakan industri dan agensi kerajaan berkaitan teknologi mencakupi bidang kurikulum, latihan, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dan kebajikan masyarakat.
Kerjasama kesemua sektor ini merupakan usaha berterusan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Selaras dengan usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, program ini turut menyediakan platform dan pendedahan kepada pelajar mengenai peluang-peluang kerjaya yang dapat diperoleh di sektor swasta dan sektor awam selepas tamat pengajian.
Antara rakan industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan yang terlibat dalam Hari Bersama Industri Politeknik Ungku Omar 2023 ini adalah Dindings Poultry Processing Sdn. Bhd., Kamaya Electric (M) Sdn. Bhd., Hovid Berhad, Perunding Ukur Maha Sdn. Bhd., IX Telecom Sdn. Bhd., Azam Achievers Management, Murata Electronics, Yamaha Electronics Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Liew Yin Yin Construction Sdn. Bhd., The Perak Foundry and Engineering Industries Association, Imtiyaz Al Aadiyat, Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd., Genting Malaysia Berhad, Plexus Manufacturing Sdn. Bhd., JV Auto Lube Sdn. Bhd., PWC PLT, Inspirasihana Sdn. Bhd., Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknologi Petronas, Proweld Training Centre Sdn. Bhd., Persatuan Pencinta Teknologi Hijau Malaysia, Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST), Universiti Tunku Abdul Rahman, WSA Venture Australia (M) Sdn. Bhd., Kumpulan Jebco (M) Sdn. Bhd., Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Perak dan Wataniah.
Sesi temu duga terbuka yang diadakan telah menawarkan sekurang-kurangnya 200 peluang pekerjaan/latihan industri dalam pelbagai bidang membantu pencapaian kadar kebolehpasaran PUO.
“POLYCC Pemacu Negara MADANI” adalah tema horizon baharu ke arah mentransformasi POLYCC (Politeknik dan Kolej Komuniti) agar menjadi lebih madani, kalis cabaran masa hadapan serta mempunyai kebolehsaingan yang tinggi.
Justeru itu, adalah menjadi hasrat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bagi menaik taraf PUO sebagai Politeknik Apex.
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah telah merasmikan program ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Ts. Dr. Izwah Ismail dan Timbalan Pengarah (Sokongan) PUO, Dr. Mohd. Nor Azam Mohd Dali.































