Para peserta program merakamkan gambar bersama
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama Majlis Daerah Tuaran telah menganjurkan Bengkel Koleksi Pokok Natif Borneo di Sabah bertempat di Sutera Harbour Marina Golf & Country Club, kelmarin.
Peserta bengkel terdiri daripada kumpulan professional yang melibatkan profesion Arkitek Landskap, Arborist, Ahli Botani dan pegawai penyelidik agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Muzium Negeri Sabah.
Turut terlibat adalah kakitangan daripada Taman-Taman Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah, serta pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Suasana program
Program ini dianjurkan oleh Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP, yang diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha (Landskap), LAr. Nurulhayati Awang More.
Bengkel Koleksi Pokok Natif Borneo di Sabah itu dianjurkan selaras dengan inisiatif kementerian untuk mengangkat dan menggunakan spesies pokok natif Borneo untuk digunapakai di dalam pembangunan landskap negeri Sabah.
Bengkel tersebut diadakan bagi membincangkan kesesuaian dan pemilihan spesies pokok natif Borneo serta pemakaiannya dalam pembangunan Landskap.
Penganjuran bengkel ini juga adalah salah satu daripada usaha kerajaan dalam mengekalkan spesies pokok unik dan bercirikan tempatan yang bernilai tinggi dalam usaha untuk menjaga keseimbangan ekologi dan ekosistem serta menyedia habitat yang kaya dengan biodiversiti dan kehidupan biologi di Sabah.
Aspek kesesuaian karakter dan kesihatan pokok serta keselamatan orang awam juga di ambil kira dalam bengkel tersebut bagi memastikan pemilihan spesies pokok dalam pembangunan landskap negeri Sabah adalah relevan bagi menjaga kepentingan bersama di samping mencapai matlamat dan agenda negeri yang telah digariskan.































