Suasana program dalam Kursus Pengemukaan Pelan Landskap
KOTA KINABALU: Satu program kursus bagi melahirkan landskap yang teratur dan berkualiti telah diadakan di sini, pada Selasa.
Program Sesi Libat Urus Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) HIJAU Siri 2/2023 – Kursus Pengemukaan Pelan Landskap anjuran Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama Majlis Daerah Tuaran itu telah diadakan di Sutera Harbour Marina Golf & Country Club.
Kursus Pengemukaan Pelan Landskap ini adalah salah satu usaha Kementerian dalam memperkasakan pengemukaan pelan landskap oleh juruperunding kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga kepada kelulusan pelan landskap.

LAr. Nurulhayati Awang More, Ketua Penolong Setiausaha (Landskap), ketika sedang memberikan ucapan beliau
Kursus ini memberi penerangan secara terperinci mengenai tatacara atau proses pengemukaan pelan landskap yang teratur dan pengisian minimum komponen landskap yang berkualiti bagi mendapatkan kelulusan.
Penjelasan yang terperinci akan memastikan keseragaman dan ketelusan kepada proses pengemukaan pelan landskap, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memudahkan cara perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat.
Anjuran kursus ini adalah satu usaha bagi penyeragaman dan penguatkuasaan di peringkat negeri bagi memastikan penyediaan pelan landskap yang berkualiti dan teratur.
Terlaksananya kursus ini akan mencapai objektif kepada pendedahan tentang kepentingan penyediaan kawasan lapang yang berkualiti, teratur dan berfungsi kepada pengguna.
Selain itu juga, memberi kefahaman yang lebih jelas tentang peranan agensi swasta bagi menjamin kualiti reka bentuk landskap yang dicadangkan di dalam sesebuah pembangunan.
Selai itu, ia juga dapat memberi standard spesifikasi dan keperluan yang wajib dituruti bagi penyediaan kawasan lapang yang berkualiti agar dapat diselaraskan dengan seragam.































