Panalaban, Gunung Kinabalu
RANAU: Seorang pendaki lelaki mengalami sesak nafas akibat penyakit akut gunung (AMS) dan tekanan darah tinggi di Panalaban, pada ketinggian lebih 3,000 meter, di Gunung Kinabalu, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 10 malam.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 10.12 malam dan sepasukan tiga anggota mencari dan menyelamat gunung (Mosar) diketuai Komander Operasi, PBB Mauries D. Ubin bersama dua kakitangan Taman-Taman Kinabalu dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari base Mosar itu, didapati seorang pendaki lelaki berusia 39 tahun mengalami simtom AMS dan tekanan darah tinggi.
“Pasukan MOSAR dengan bantuan Park SAR dan Malim Gunung memberikan rawatan awal kepada mangsa, sebelum mengiringinya turun ke Timpohon Gate,” katanya.
Menurut Ridwan, mangsa dihantar ke Hospital Ranau oleh pasukan EMRS Bomba untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.35 pagi.































