Shahelmey (dua dari kanan) dan Arifin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim.
MEMBAKUT: Isu kenaikan harga barang tidak menghalang usaha menyuburkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini.
Menurut Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya berkata walaupun kenaikan kos sara hidup memberi kesan kepada rakyat, penganjuran majlis-majlis rumah terbuka aidilfitri di seluruh negeri ini tetap meriah.
“Kita akui bahawa kenaikan harga barang memang terasa oleh rakyat negara ini.
“Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang rakyat untuk mengadakan rumah-rumah terbuka malah pada hari ini saya secara peribadi mempunyai enam jemputan.
“Ini membuktikan kenaikan kos sara hidup bukan menjadi satu kekangan kepada majlis-majlis rumah terbuka walaupun ia mempunyai impak tetapi tujuan rumah terbuka lebih menumpukan kepada hubungan silaturahim,”
katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif di sini, pada Sabtu.
Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 tetamu dari kawasan sekitar, luar daerah serta negara Brunei Darussalam itu, Shahelmey
diiringi Arifin yang juga ADUN Membakut turut menyantuni 140 anak yatim.































